Berita

Kejohanan Kuda Lasak Piala Presiden Perbadanan Putrajaya 2024 lonjak industri ekuestrian

SEKITAR Kejohanan Kuda Lasak Piala Presiden PPj 2024 yang berlangsung di Padang Semarak, Taman Wetland Putrajaya.
- Diterbit 6 Oktober 2024 4:48 PM MYT

SERAMAI 107 orang peserta dari seluruh negara berentap dalam Kejohanan Kuda Lasak Piala Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) 2024 yang berlangsung di Padang Semarak, Taman Wetland Putrajaya baru-baru ini.

Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata Kejohanan Kuda Lasak Piala Presiden 2024 telah mendapat pengiktirafan oleh Fédération Équestre Internationale (FEl) dan menarik sebanyak 17 penyertaan daripada agensi kerajaan seperti Unit Berkuda PDRM, ATM dan kelab ekuin persendirian.

“Ia sekali gus membuktikan kejayaan PPj dalam penganjuran sukan kuda lasak di negara ini selain berjaya membantu melonjakkan lagi industri ekuestrian negara,” ujar beliau.

Menurut Fadlun, penyertaan dari seluruh negara telah diterima bagi kejohanan ini yang mana kesemua peserta perlu melalui pengujian kemahiran, mental serta ketahanan kuda masing-masing di trek lasak sepanjang 40 kilometer mengelilingi Wetland Putrajaya.

“Lumba kuda lasak merupakan sukan lumba jarak jauh terkawal yang menguji ketahanan kuda untuk sampai ke penamat yang diiktiraf oleh FEl.

“Kuda yang layak menyertai hendaklah melepasi pemeriksaan doktor veterinar sebelum dibenarkan meneruskan tunggangan serta perlu melepasi pemeriksaan akhir selepas menghabiskan jarak acara,” ujarnya.

Beliau berkata antara yang dinilai ialah kadar degupan jantung 64bpm, kelajuan menunggang minimum 8km/jam dan maksimum 16km/jam serta faktor-faktor lain yang mana ia turut menguji penunggang untuk membantu memastikan kuda dapat menamatkan perlumbaan dengan jayanya.

“Trek kuda lasak Taman Wetland Putrajaya merupakan trek yang menjanjikan keselesaan serta kepuasan menunggang kerana mempunyai permukaan trek yang kebanyakannya rata, luas dan bebas daripada keadaan yang boleh mendatangkan bahaya kepada kuda,” ujarnya trek ini juga turut memaparkan pemandangan dan keindahan Wetland Putrajaya di sepanjang laluan.

Dalam masa sama, Fadlun berkata kejohanan tersebut dilaksanakan bertujuan untuk mempromosikan Putrajaya sebagai salah satu pusat pelancongan dan lokasi sukan berkuda antarabangsa iaitu di Taman Wetland Putrajaya dan Taman Ekuestrian Putrajaya.

“Selain itu, kejohanan ini juga dapat mengeratkan hubungan kerjasama di antara Pasukan Berkuda Agensi Kerajaan yang terdapat di Malaysia seperti Pasukan Berkuda Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kelab-kelab kuda swasta mahupun persendirian.

“Perbadanan Putrajaya berbesar hati dapat meraikan peminat-peminat sukan kuda lasak dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Kelab Kuda, Pasukan Berkuda Agensi Kerajaan dan Persatuan Ekuestrian Malaysia serta penaja yang memberikan sokongan kepada penganjuran kejohanan pada kali ini,” ujar beliau.

Dalam kejohanan itu, johan telah disandang oleh Mohamad Firdaus Hamid (TNT Arabian Stable) diikuti Nurin Amanie Badrina Mohd Tarrmizi (Persatuan Ekuin Terengganu) bagi naib johan dan tempat ketiga pula dimenangi Unit Berkuda PDRM, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani.

Terdahulu, kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai berdasarkan kuda yang mendapat markah kondisi atau parameter terbaik. Pemenang tempat pertama berjaya membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta piala, naib juara pula menerima RM1,000, tempat ketiga RM700 dan tempat keempat hingga ke-10 menerima RM200. Pihak PPj juga turut menyediakan lebih 30 cabutan bertuah kepada para peserta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas