KEJAYAAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan fungsi-fungsinya selaras Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 secara tidak langsung telah menyumbang kepada pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia merujuk kepada Indeks Keamanan Global (GPI) 2024 apabila Malaysia berada di tempat ke-10 daripada 163 negara.
Menurutnya, pencapaian itu sekali gus memberi kesan langsung kepada perkembangan ekonomi yang memberangsangkan, hasil keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
“Tahun 2024 mencatatkan kejayaan gemilang buat PDRM hasil usaha gigih dari setiap jabatan dalam menjalankan fungsi masing-masing.
“Sekalung penghargaan kepada seluruh warga Sang Saka Biru atas komitmen, sumbangan, pengorbanan dan semangat yang tinggi, menggerakkan pelbagai usaha dan inisiatif dalam menghadapi ancaman keselamatan dan ketidaktentuan global yang semakin kompleks,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2025.
Razarudin memberitahu, tidak dilupakan juga penglibatan semua pihak di peringkat antarabangsa, kementerian, jabatan, agensi-agensi kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan serta segenap lapisan masyarakat atas segala sokongan dan kerjasama dalam usaha memantapkan keupayaan benteng keselamatan demi kesejahteraan rakyat.
“Moga jalinan kolaborasi ini dapat diperkukuhkan lagi bagi memenuhi ekspektasi kerajaan dan masyarakat yang menuntut perkhidmatan telus serta berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata, peredaran masa menjadikan PDRM semakin matang dan ampuh mendepani pelbagai ancaman jenayah yang berevolusi dengan perkembangan teknologi dan landskap keselamatan serantau yang tidak menentu.
Namun katanya, disebabkan pengalaman, peningkatan keupayaan serta semangat taat setia warga Sang Saka Biru kepada raja dan negara menyebabkan PDRM berjaya menangani pelbagai cabaran yang mendatang.
“Keprihatinan kerajaan kepada PDRM telah dizahirkan melalui pelbagai inisiatif untuk meningkatkan motivasi warga pasukan antaranya menaik taraf kediaman dan premis PDRM, memperkukuh keperluan sumber manusia dan kelengkapan logistik, memperkasa keselamatan sempadan serta kenaikan gaji penjawat awam.
“Usaha-usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi memastikan ekosistem yang sejahtera, disokong oleh warga kerja yang berdaya cipta, saling menghormati dan ihsan demi kemampanan Sang Saka Biru,” katanya.
Untuk itu pihaknya bersama barisan kepimpinan tertinggi PDRM menyeru seluruh warga pasukan untuk menterjemahkan rasa kesyukuran menerusi iktikad dan kebersamaan dalam setiap inisiatif serta tanggungjawab yang diamanahkan demi negara.
Tambahan pula katanya, pada 1 Januari 2025, secara rasminya Malaysia mengambil alih teraju Kepengerusian ASEAN, yang bakal menyaksikan Malaysia menjadi tumpuan sebagai tuan rumah bagi program-program bertaraf antarabangsa.
“Sehubungan itu warga PDRM harus sentiasa bersiap siaga demi memastikan keselamatan negara kekal terjamin.
“Jangan mudah berlapang dada dengan keamanan dan kedamaian yang dikecapi kini, sehingga leka tanpa persiapan dan pengukuhan penugasan, malah perlu melengkapkan diri dengan pelbagai cabang kompetensi kepolisan moden,” jelasnya.
Beliau turut menyeru warga PDRM untuk memperkukuh personaliti sebagai penguat kuasa yang berintegriti tinggi, berdedikasi melaksanakan amanah, mematuhi ketetapan peraturan selain bersederhana dalam kehidupan. – WILAYAHKU
[Iklan]