PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam merupakan kejayaan luar biasa.
Beliau berkata kemenangan besar itu bukti masyarakat DUN Mahkota yakin dengan keberkesanan muafakat Kerajaan Perpaduan antara pusat dan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi
“Tahniah kepada Syed Hussien Syed Abdullah dan BN atas kejayaan luar biasa dalam mempertahankan kerusi Dewan DUN Mahkota.
“Ia juga petanda jelas rakyat terus yakin dengan kerangka dasar dan polisi kerajaan yang menitikberatkan soal ekonomi dan taraf hidup rakyat keseluruhannya,” katanya di Facebook.
Syed Hussien yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor memperoleh 27,995 undi manakala calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61, dengan 7,357 undi.
Kemenangan Syed Hussein diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid pada pukul 9.05 malam semalam dengan majoriti lebih besar iaitu 20,648 undi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, DUN Mahkota menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan calon BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menang apabila memperoleh 16,611 undi manakala calon PH Taqiuddin Cheman mendapat 11,445 undi, Mohamad Nor Lingan (PN – 7,614 undi) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan- 555 undi).
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian Sharifah Azizah, 63, pada 2 Ogos lepas.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat 66,318 pengundi berdaftar layak memilih pada PRK itu, dengan majoritinya iaitu 54 peratus adalah Melayu diikuti pengundi Cina 34 peratus dan lapan peratus pengundi India. – WILAYAHKU