Atlet Wilayah

Kejayaan bermakna WiPers

- Diterbit 6 September 2024 10:10 AM MYT

KEJAYAAN kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) mengakhiri saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada kedudukan kedua menjadi penanda aras kepada persiapan negeri itu dalam temasya sukan berprestij negara edisi ke-22 akan datang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa memuji prestasi cemerlang dan luar biasa dipamerkan semua atlet Wilayah Persekutuan (WiPers) yang bertanding pada SUKMA 2024.

“Semangat juang tinggi yang dipamerkan setiap atlet bertanding telah berjaya membawa kepada kejayaan memecahkan beberapa rekod kebangsaan dan temasya kali ini.

“Alhamdulillah, kita capai sasaran untuk berada kedudukan dua teratas. Jumlah pungutan pingat WiPers juga yang paling tinggi berbanding negeri lain. Jika kita mampu menukar perak itu kepada emas dalam beberapa acara, mungkin kita boleh perbaiki kedudukan untuk muncul juara keseluruhan,” ujar beliau.

Wilayah Persekutuan menamatkan saingan pada SUKMA 2024 di tempat kedua dengan 75 pingat emas, 65 perak dan 72 gangsa.

Lebih manis, pasukan WiPers mencipta sejarah besar apabila menamatkan penantian 38 tahun untuk memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki di SUKMA 2024.

Pengurus pasukan Wilayah Persekutuan, Syed Yazid Syed Omar menyifatkan pencapaian itu sebagai kejayaan besar buat kontinjen Wilayah Persekutuan yang sudah lama menanti untuk memenangi ibu segala pingat.

“Kejayaan itu adalah hasil usaha keras serta kerjasama semua pihak termasuk Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA),” ujarnya.

Terdahulu, Zaliha mengumumkan insentif habuan wang tunai menanti atlet, jurulatih dan pengurus pasukan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas