Berita

Kejatuhan RM tingkat ekonomi, negara serantau turut terkesan

KEJATUHAN ringgit tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang. - Gambar hiasan
- Diterbit 26 Februari 2024 2:07 PM MYT

KEJATUHAN nilai ringgit ketika ini tidak hanya berlaku di Malaysia sahaja malah turut melanda beberapa negara lain dengan kemerosotan nilai mata wang mereka.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kemerosotan tersebut berlaku namun ia langsung tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang.

Pensyarah Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) antara sebab utama kejatuhan ringgit.

“Memang betul, ringgit terkesan akibat faktor-faktor luaran, namun antara utamanya ialah pengukuhan nilai dolar itu sendiri.

“Indikator ekonomi negara tersebut telah kembali mengukuh dan data turut menunjukkan kadar pengangguran berkurangan, perbelanjaan tinggi dan sebagainya.

“Apabila ekonomi meningkat sekali gus akan mengukuhkan nilai mata wang itu, namun di sini kadar faedah yang tidak menurun juga menyebabkan banyak negara terkesan dengan tekanan kepada nilai mata wang mereka yang menyebabkan kemorosotan,” katanya kepada pada Rabu.

Tambah Ahmed Razman, pasaran modal Malaysia terbuka kepada pelabur asing yang membolehkan mereka bebas memiliki saham dan bon yang diterbitkan di Malaysia.

“Untuk rekod, bagi data terkini, nisbah milikan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) telah pun merosot ke paras 33.8 peratus dan 9.3 peratus setakat Januari 2023 berbanding 36.6 peratus dan 10.2 peratus yang dicatatkan pada Julai tahun lalu.

“Ada pelbagai sebab milikan asing berkurangan. Salah satunya adalah pulangan pelaburan yang lebih tinggi di AS berdasarkan perbezaan kadar faedah iaitu Fed Fund Rate berada pada paras 5.50 peratus berbanding OPR 3.0 peratus.

“Walau bagaimanapun kenaikan kadar OPR bukanlah satu jalan penyelesaian yang terbaik kerana ia secara tidak langsung akan melemahkan pasaran ekonomi domestik,” ujarnya.

Jelas Ahmed Razman, kenaikan atau kejatuhan nilai mata wang boleh membawa kesan positif dan negatif pada ekonomi serta masyarakat di sesebuah negara.

“Apabila nilai mata wang semakin merosot, daya saing barangan eksport akan meningkat. Harga barangan eksport yang relatifnya lebih murah akan meningkatkan permintaan dan melonjakkan pendapatan negara dijana daripada hasil eksport.

“Bagi memenuhi permintaan itu, penghasilan barang dan perkhidmatan ditingkatkan sekali gus menambah keuntungan kepada pengeksport dan peluang peningkatan pendapatan pekerja.

“Selain itu, industri pelancongan juga akan turut berkembang apabila pelancong asing dapat menukarkan wang dengan nilai lebih tinggi, mendorong pertambahan pelancong serta perbelanjaan mereka di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, nilai ringgit terus mencatat penurunan ketara Selasa lepas apabila mencecah paras 4.795 berbanding dolar AS paras terendah.

Jika disingkap semula, mata wang negara mencapai paras terendah dalam sejarah iaitu 4.88 pada Januari 1998 iaitu ketika kemuncak Krisis Kewangan Asia.

Paras ringgit juga mengatasi paras terendah harian yang dicatat pada 23 Oktober 2023 lalu iaitu 4.7925.

Selain itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata prestasi ringgit baru-baru ini telah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, sama seperti mata wang serantau lain.

Abdul Rasheed Ghaffour turut memaklumkan antara faktor tersebut termasuk pelarasan pasaran kepada jangkaan kadar faedah AS yang berubah-ubah, kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian berkaitan dengan prospek ekonomi China.

BNM berpandangan bahawa paras ringgit baru-baru ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang.

Pertumbuhan pada tahun 2024 akan didorong oleh permintaan luaran yang bertambah baik dan perbelanjaan dalam negeri yang kukuh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas