Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Kejatuhan Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024 adalah disebabkan kelemahan mata wang ringgit – Tengku Zafrul

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 21 Jun 2024 3:49 PM MYT

PENURUNAN kedudukan Malaysia di tangga ke-34 dalam senarai Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024 adalah disebabkan faktor kelemahan mata wang ringgit pada tahun lepas, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata berdasarkan kajian awal kementerian tersebut, isu utama yang mengakibatkan kejatuhan kedudukan negara dari tangga ke-27 adalah disebabkan penggunaan data pada 2023 untuk mengukur daya saing negara.

“Ia (laporan) berdasarkan data tahun lepas, 2023, berbanding dengan tahun 2022, jadi ketinggalan satu tahun di situ. Faktor yang mempunyai kesan paling ketara ialah kestabilan ringgit, seperti yang ditonjolkan dalam ranking,” katanya selepas merasmikan the Centralised Sustainability Intelligence (CSI) Solution di Bursa Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata kelemahan ringgit tahun lepas mempunyai pelbagai implikasi, termasuk penilaian pelaburan, produktiviti, dan kecekapan yang berkait rapat dengan nilai mata wang itu, seterusnya mencerminkan kebimbangan mengenai kestabilan ekonomi.

“Seperti yang diketahui, ringgit terjejas pada 2023, dan itu memberi kesan kepada daya saing kita, tetapi kini ringgit telah mengukuh, dan jika momentum yang sama berterusan, kedudukan itu sepatutnya bertambah baik,” katanya.

Beliau berkata sumbangan eksport sektor elektrik dan elektronik  (E&E) yang rendah pada tahun lepas turut menjejaskan kedudukan negara.

“Ini adalah seiring dengan kelembapan perdagangan di seluruh dunia, tetapi tahun ini kita dapat melihat sektor itu bertambah baik.

“Kini, jumlah dagangan telah meningkat dengan ketara, kira-kira lebih 10 peratus pada Mei 2024,” katanya.

Malaysia turun tujuh anak tangga untuk menduduki tempat ke-34 daripada 67 negara dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, selepas berada di kedudukan ke-27 dalam indeks itu tahun lepas.

Di rantau Asia Pasifik, Malaysia turun empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-10 daripada 14 negara. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas