Fokus

Keistimewaan checkpoint di sekitar WP

Astaka Morocco, Putrajaya
- Diterbit 2 November 2023 11:15 PM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM

1. DATARAN LABUAN

DIBINA pada 18 April 1995 dengan keluasan lima hektar dan dikenali sebagai tempat penganjuran perarakan, acara penutupan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan, pelbagai aktiviti sukan serta Sambutan Tahun Baharu dan Hari Kebangsaan.

2. MUZIUM DAN GALERI SENI BANK NEGARA

PESERTA dapat melihat seni bina bangunan moden yang tersergam indah di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur selain turut menawarkan pengalaman kepada orang ramai yang ingin menelusuri perkembangan mata wang, sejarah ekonomi dan penubuhan Bank Negara Malaysia.

3. RIVER OF LIVE

RIVER Of Live (ROL) yang terletak di pertembungan di antara Sungai Klang dan Sungai Gombak merupakan mercu tanda tarikan pelancongan di Kuala Lumpur. Ia merupakan antara spot tercantik yang menonjolkan keunikan kolam biru selain turut dihiasi dengan keindahan lampu-lampu yang terang dan suasana berkabus pada waktu malam.

4. TANGGA PUTRAJAYA

TANGGA Putrajaya adalah tangga ikonik yang dibina di atas cerun menuju ke Mercu Tanda di Taman Putra Perdana, Putrajaya. Diinspirasikan dari beberapa tangga ikonik dunia seperti Spanish Steps di Itali dan Batu Caves, Malaysia, tangga ini dibina dengan ketinggian 30 meter dengan jarak pendakian sejauh 200 meter.

5. ASTAKA MOROCCO PUTRAJAYA

ASTAKA Morocco merupakan astaka seni bina Islam yang terletak di Taman Botani, Putrajaya dan dibina pada tahun 2003. Di dalam Astaka Morocco ini, terdapat binaan replika istana Morocco yang dihasilkan dengan penuh ketelitian dan dindingnya pula dihiasi dengan motif ukiran yang indah termasuklah ayat Al-Quran dan nama Allah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas