Berita

Keindahan Istana Maghribi di Suria KLCC

ALAMI keajaiban Maghribi Sempena Hari Raya ini.
- Diterbit 24 Mac 2025 4:30 PM MYT
ORANG ramai berpeluang mengalami keajaiban Maghribi sempena Aidilfitri di destinasi beli-belah ikonik, Suria KLCC bermula 7 Mac sehingga 13 April ini.

Ruang Centre Court, Suria KLCC dihiasi dengan gabungan warna biru diraja dan emas berkilauan, menampilkan kubah tertutup dihiasi dengan unjuran interaktif yang menakjubkan manakala lengkungan tradisional yang megah menghidupkan suasana halaman istana yang indah.

Di Esplanade KLCC pula, lengkungan Moorish yang besar berdiri megah dengan pencahayaan interaktif, menawarkan latar belakang menarik untuk merakam detik indah hari raya.

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata bagi menghidupkan suasana perayaan, alunan muzik Maghribi dan Melayu bakal menggamit pengunjung menerusi persembahan ‘Tradisional Raya Tunes’ pada 30 Mac dan 1 April.

“Sempena Aidilfitri ini, kami berbesar hati untuk mempersembahkan satu sambutan yang bukan sahaja memukau dengan keindahannya tetapi menggalakkan perpaduan, kemurahan hati dan kegembiraan. Kami mengalu-alukan semua untuk bersama-sama meraikan musim penuh makna ini,” katanya.

Francis berkata Suria KLCC turut menawarkan ganjaran eksklusif kepada pembeli termasuk e-Baucar bernilai RM100 hingga RM300 bagi mereka yang berbelanja antara RM2,500 hingga RM10,000 dan pembelian e-Baucar bernilai RM1,000 turut menerima tambahan RM100.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang terhadap kesedaran kesihatan mental, Suria KLCC menawarkan Bengkel Pembuatan Coaster Hari Raya khas kepada pembeli yang membeli ‘Suria Ribbon Pin’ dengan harga RM10. Hasil jualan akan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong kesihatan mental.

“Pelbagai bengkel kreatif juga disediakan antaranya ‘Raya Coaster Workshop’ dan ‘Raya Floral Workshop’ di mana pengunjung boleh mencipta hiasan bertemakan Aidilfitri,” katanya.

Tambahnya ‘A Raya Dance Spectacle’ yang menampilkan tarian Maghribi turut diadakan pada 23 dan 29 Mac serta 31 Mac ini. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas