Berita

Keilmuan, sikap Syed Husin harus diteladani ahli akademik – PM Anwar

- Diterbit 22 September 2024 11:55 AM MYT

KEILMUAN dan sikap Almarhum Profesor Dr Syed Husin Ali harus diteladani ahli akademik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata amat menghargai persahabatan yang terjalin antaranya dengan Syed Husin

“Syed Husin mendasari ilmunya untuk berpijak kepada kenyataan hidup dan realiti masyarakat. Kemudian melontarkan idea serta teguran dengan berani.

“Seorang sarjana dari universiti itu tidak harus hanya menjadi pak turut, sebaliknya harus bebas berbicara,” katanya di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri Majlis Memperingati Syed Husin yang berlangsung di Institut Pengurusan dan Perkhidmatan Penyelidikan Universiti Malaya (UM).

Syed Husin merupakan bekas Timbalan Presiden PKR meninggal dunia pada usia 87 tahun pada 29 Jun lalu akibat kanser.

Menurut Anwar, Syed Husin merupakan gurunya dan majlis memperingati tokoh itu semalam membawa kembali kenangan tatkala beliau mengikuti sesi kuliah dan syarahannya di UM suatu ketika dahulu.

Beliau mengimbau kekentalan jiwa Syed Husin yang merupakan seorang pemikir awam yang tekal dalam jalur perjuangan membela nasib rakyat miskin, menuntut keadilan serta seorang pejuang bahasa Melayu yang kental.

“Sempat juga saya mengenang saat kami bersebelahan lokap di Kuala Lumpur, sebelum bersama-sama dihumban ke Kamunting pasca Peristiwa Baling 1974, di mana kami semakin akrab dan bertukar pandangan serta berbahas dalam berbagai hal.

“Saya amat menghargai persahabatan yang terjalin antara kami, apatah lagi Syed Husin adalah antara yang pertama dalam kalangan pimpinan politik yang datang ketika peristiwa getir pemecatan saya pada 1998 dan menzahirkan kesetiaan untuk bersama-sama mendukung perjuangan ini,” katanya.

Menurut Anwar lagi, Syed Husin juga paling sering ke mahkamah ketika itu, dan memberi jaminan kepada Wan Azizah dan anak-anak bahawa beliau akan tetap bersama, memberi perhatian dan membela nasib mereka.

Beliau berkata pastinya intelektualisme dan kecekalan Syed Husin yang konsisten, tuntas dalam pandangan, tidak berganjak soal tatakelola yang baik serta gerakan membela nasib rakyat banyak mempengaruhi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Beliau sentiasa menekankan bahawa PKR mesti meletakkan agenda pembelaan nasib rakyat, petani, nelayan dan miskin kota sebagai keutamaan.

“Saya percaya pemikiran Syed Husin harus terus digali dan dibahaskan menerusi karya-karya beliau yang begitu berharga, umpamanya ‘Social Stratification Social Stratification in Kampong Bagan’ yang membicarakan perihal kesenjangan yang melebar antara kelompok kaya dan miskin,” katanya.

Tambah Anwar, di majlis itu, beliau turut mengumumkan persetujuan untuk mewujudkan Kursi Syed Husin Ali di UM.

Beliau berkata ini sebagai wadah untuk terus meneroka curahan pemikiran Syed Husin terkait kehidupan rakyat miskin di kota, desa, strata sosial, hubungan etnik dan selainnya.

Anwar turut umumkan peruntukan RM200,000 kepada Persatuan Sains Sosial untuk menyelenggara penulisan dan kajian-kajian daripada pemikiran Syed Husin.

“Semoga segala usaha ini akan terus menghidupkan obor perjuangan Syed Husin untuk melihat reformasi berlaku dalam sistem negara yang kian bobrok akibat tatakelola yang lemah, rasuah yang menjalar dan kesenjangan yang terus melebar.

“Terima kasih atas penganjuran majlis ini yang membuka ruang untuk saya melontarkan isi hati, persahabatan dan kasih yang abadi kepada sahabat, guru dan teman seperjuangan Syed Husin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas