Berita

Kehilangan hak kedaulatan Batu Puteh perlu diambil sebagai suatu pengajaran: RCI

- Diterbit 5 Disember 2024 3:50 PM MYT

KEHILANGAN hak kedaulatan Batu Puteh seperti diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 hendaklah diambil sebagai suatu pengajaran.

Demikian ditegaskan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dalam laporan akhir yang telah dinyahklasifikasikan.

Laporan itu telah diserahkan oleh Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 Ogos lalu.

Menurut suruhanjaya itu, penegasan itu dibuat supaya kelemahan, ketidaktelitian dan sikap ambil mudah dalam isu-isu melibatkan kedaulatan negara seperti berlaku dalam kes tersebut tidak berulang.

“Pengajaran juga harus diambil di mana sekeping surat pertanyaan oleh pihak luar serta jawapan yang diberikan secara bersurat boleh pada bila-bila masa digunakan sebagai bukti untuk pihak luar bagi menuntut hak dan kedaulatan ke atas wilayah negara.

“Percakapan yang dikeluarkan secara tidak berhati-hati dan tidak bermaklumat boleh digunakan oleh pihak lawan dan memakan diri sendiri. Setiap tindakan dan keputusan mengenai perkara dasar yang melibatkan kedaulatan dan kepentingan negara perlu dibuat dengan berhati-hati dan berpandukan undang-undang,” tegasnya dalam laporan berkenaan.

Pada 23 Mei 2008, Malaysia telah kehilangan hak kedaulatan Batu Puteh di ICJ.

Menurut penghakiman ICJ mengenai Batu Puteh, yang hilang adalah batuan yang saiznya lebih kurang sama saiz dengan sebuah padang bola sepak.

Sehingga kini, isu persempadanan maritim antara Malaysia dan Singapura di sekitar Batu Puteh masih dalam rundingan.

Dalam pada itu, RCI berkenaan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia antara yang disyorkan oleh RCI berkenaan dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini.

Suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah itu boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun sama.

“Oleh itu adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” katanya.

RCI itu menyebut, keputusan ICJ pada 23 Mei 2008 yang memberi hak kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura adalah merupakan detik sejarah yang pahit untuk Malaysia.

Katanya, keputusan tersebut sukar diterima kerana 12 orang Hakim ICJ, pada permulaan alasan mereka telah menerima hujahan Malaysia bahawa Batu Puteh berada di bawah kedaulatan Kesultanan Johor.

Batu Puteh merupakan batuan granit berukuran 137 meter panjang dengan purata 60 meter lebar meliputi kawasan lebih kurang 8,560 meter persegi ketika air surut.

Batu Puteh terletak kira-kira 7.7 batu nautika dari Tanjung Penyusuh di tenggara Semenanjung dan 25.5 batu nautika dari Singapura.

Pelayar Portugis menamakan Batu Puteh sebagai Pedra Branca yang bermaksud ‘white rock’ manakala pelayar China, Laksamana Cheng Ho menamakannya Pia Chio (white island).

Pertikaian antara Malaysia dan Singapura mengenai Batu Puteh tercetus apabila Malaysia menerbitkan satu peta baharu pada 21 Disember 1979 yang menunjukkan batas sempadan Pelantar Benua Malaysia (Peta 1979).

Pada 14 Februari 1980, Singapura telah menghantar Nota Bantahan kepada Malaysia mengenai Peta 1979 yang meletakkan Batu Puteh dalam kawasan perairan Malaysia.

Melalui surat bertarikh 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah, Perdana Menteri ketika itu telah mengemukakan pendapat beliau bahawa usaha berkaitan permohonan semakan dan permohonan tafsiran (Batu Puteh) tidak perlu diteruskan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas