Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
KUALA Lumpur seperti juga kota-kota lain di dunia yang penuh dengan gemerlapan dan kemilau. Kehidupan masyarakatnya kelihatan dibelit kemewahan yang tidak mungkin dialami oleh mereka yang tinggal di luar kota. Sememangnya begitulah sifat sesebuah kota di mana kehidupan mewah menjadi mercu tandanya.
Malah seolah-olah tidak ada ruang untuk yang tidak mampu menggapai kemewahan itu tumpang mendiami kota yang besar itu. Semuanya menuntut belanja yang bukan sahaja besar, malah terlalu besar. Akan tetapi hakikatnya ada sahaja golongan lain misalnya yang berpendapatan sederhana atau rendah lagi.
Lapisan sosialnya berbagai-bagai daripada yang ultra elit hinggalah mereka yang tidak punya kediaman. Mereka itu bukan lagi tergolong dalam B40 malah lebih rendah daripada itu. Semuanya menumpang hidup di sebuah kota yang bernama Kuala Lumpur.
Suatu waktu dulu hidup di kota seperti Kuala Lumpur, kalau tidak kuat pendirian kita juga terjerumus dalam perangkap kebendaan. Semua perkara diukur dengan benda, padahal manusia mempunyai tanda aras yang lain untuk membezakan antara satu dengan yang lain.
Itu dilema warga Kuala Lumpur yang terpesona dengan kehidupan mewah golongan berada. Tetapi itu dulu, sekarang bukan di Kuala Lumpur yang menjadikan kebendaan sebagai ukuran hidup, malah berlaku di mana-mana dengan berleluasanya media sosial.
Kalau dulu orang di kampung tidak terdorong untuk meniru kehidupan orang kaya di Kuala Lumpur. Hanya orang Kuala Lumpur yang daif berfikir akan merasa terbeban untuk menyamakan diri dengan golongan berada. Tetapi kini di mana-mana sahaja khayalan kebendaan sentiasa mencari sasarannya.
Pada era digital, secara tanpa sedar media sosial telah mencipta khayalan kehidupan kepada kita. Kalau golongan elit dengan kehidupan yang mewah, kita yang tidak tergolong dalam kelas itu juga berkhayalan sedemikan. Maka terhasillah golongan yang memancing perhatian dengan memperagakan perkara yang pada tanggapannya lebih daripada orang lain.
Mereka adalah dalam kalangan yang teracun dengan sekian banyak kepalsuan yang diperagakan di media sosial. Mereka gagal membezakan antara khayalan menjadi mewah dengan kehidupan yang sebenar. Bahkan bukan sedikit yang bergaya di media sosial dengan harapan dianggap lebih tinggi kedudukan dengan yang lain.
Kehidupan yang sebenar bukanlah sebiji epal merah yang dilihat pada satu sisi sahaja. Kehidupan adalah gandingan hitam dan putih, kaya dan miskin serta suka dan duka. Maka lihatlah epal merah daripada berbagai-bagai sudut yang tentunya ada yang tidak sempurna kerana itulah cerminan kehidupan kita.
Tidak ada yang sesempurna epal merah yang tidak tersisa. Hanya media sosial yang menyakinkan bahawa kehidupan kita seperti itu. Maka yang kurang berfikir pun mahu menjadi seperti yang dilihat di media sosial akan kehidupan yang penuh mewah dan bahagia.
Kehidupan yang nyata adalah sulam seli hitam dan putih, tinggi dan rendah serta jatuh dan bangun. Semua yang bertentangan itu menjadikan kehidupan penuh kepelbagaian warna dan suasana.
Bagaimanapun kehidupan nyata tidak terpapar di media sosial hingga kita terlupa akan kebenarannya. Media sosial mempengaruhi kita membentuk persepsi bahawa hanya kehidupan di situ sahaja yang sempurna, bahagia dan dikelilingi nilai-nilai yang semuanya menjurus kebendaan.
Terlalu sedikit, malah hampir tidak ada yang memaparkan kegagalan, kemiskinan dan kekurangan di media sosial. Ini pelantar sosial untuk kelihatan bergaya walaupun tidak seperti dalam kehidupan nyata. Maka berlumba-lumbalah memperagakan khayalan yang pada tanggapan mereka adalah satu kebahagiaan.
Sebahagian besar warga maya penagih perhatian dan memperagakan khayalan kesempurnaan hidup untuk mendapat pujian. Tambahan pula hal ini selari dengan budaya hidup di media sosial – mengangkat diri sendiri supaya kelihatan lebih berbanding yang lain.
Pada mulanya media sosial hanya dilihat sebagai rangkaian hubungan sosial. Bagaimanapun menjadi jauh lebih besar dan mencipta sebuah khayalan kehidupan yang penuh kebendaan. Masing-masing memperagakan kebendaan supaya kelihatan hidup mewah dan sempurna.
Bagaimanapun hakikat yang perlu difahami adalah tidak semua yang terpantul di media sosial mewakili kehidupan sebenar yang penuh berwarna-warni. Secara psikologinya media sosial membentuk gambaran dan wajah kehidupan yang tersendiri – setidak-tidaknya dalam kalangan warga maya yang malas berfikir.
Tanpa sedar pula telah menulis semula tatacara dan prasyarat kehidupan yang menepati definisi media sosial. Masa yang sama ia adalah ruang eskapisme untuk melarikan daripada kenyataan hidup yang mungkin tidak seindah diimpikan. Di media sosial, impian itu dijelma dan dihidupkan dengan memperagakan kegembiraan, kemewahan dan kebahagiaan.
Hal ini berlaku kerana pengguna media sosial dipaksa melihat kehidupan orang lain yang secara terancang pula berpaksi kebendaan. Pengguna hampir terlupa hakikat diri sendiri kerana pantulan cerita orang lain yang lebih memukau, malah hampir tidak ada cerita duka dan sengsara.
Ketika media sosial giat mempertontonkan sisi epal merah yang sempurna, jangan lupa sisi yang satu lagi. Di sebalik media sosial yang mengangkat kehidupan yang indah-indah, makan yang enak-enak dan segala keperluan kebendaan tersedia, hakikatnya di sisi yang lain bergelut untuk hidup. Salah seorangnya mungkin kita sendiri.
Sisi itu tidak dipertontonkan kerana bertentangan dengan tatacara media sosial. Di sana hanya yang indah-indah yang mampu membuatkan orang yang daif alam fikirnya akan terpegun dan kagum.
Kehidupan yang dipaparkan di media sosial dengan yang nyata sangat berbeza antara satu dengan lain. Bagaimanapun media sosial ada kemilau yang luar biasa untuk memagut perhatian dan keterpesonaan. Ibarat sebutir lampu di tengah gelap malam yang menyihir kelekatu mengerumuninya.
Oleh yang demikian untuk melihat atau memahami kehidupan yang nyata, jangan sama sekali mencari di media sosial. Hal ini kerana media sosial mempunyai tatacara kehidupannya yang tersendiri dan tidak mewakili kehidupan nyata di luar tabir lingkungannya.
Suatu hakikat yang tidak boleh dilupakan adalah kehidupan ini tidak semuanya penuh dengan keindahan. Walaupun keindahan itu yang menjadi impian, tetapi dalam kehidupan yang nyata, kita tidak mendapat semua. Kita mendapat sebahagian yang indah dan selebihnya tidak indah.
Media sosial cenderung mendesak kita mengukur kehidupan daripada pembaris yang digunakan oleh orang lain. Memaksa tanpa sedar supaya menjadi seperti individu terpapar yang bahagia dan amat mewah kehidupannya.
Tetapi jangan lupa, semua itu tidak lebih sebuah album gambar. Hanya gambar yang dipilih sahaja dimasukkan dalam album. Semuanya tersaring dan sememangnya album gambar bukan sebuah rakaman kehidupan yang sebenar. – WILAYAHKU