KEHARMONIAN penting dalam usaha menarik pelabur luar datang ke Malaysia, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ujar beliau, keamanan dan keharmonian negara yang dikecapi pada masa ini adalah tanggungjawab bersama dan perlu dipelihara dengan sebaik-baiknya agar kekal utuh untuk generasi akan datang.
“Seperti yang kita semua maklum, prinsip perpaduan dalam kepelbagaian atau unity in diversity telah menjadi teras kepada keharmonian masyarakat Malaysia sekian lama.
“Keindahan budaya dan adat yang berbeza tidak pernah menjadi jurang pemisah, malah ia mengukuhkan lagi hubungan antara kita semua.
“Oleh itu, marilah kita terus memelihara warisan perpaduan ini,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak di perkarangan Kompleks Renang Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Wan Azizah turut menggesa semua lapisan rakyat supaya menolak sebarang anasir yang cuba melaga-lagakan mereka dengan memainkan isu perkauman.
“Rakyat perlu lebih matang dalam mendepani perbezaan pendapat serta kepercayaan, dengan mencari titik persamaan dan bukannya memperbesarkan perselisihan faham yang kecil,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata, sambutan tahun ketiga ini dihadiri oleh pelbagai kaum dan latar belakang bagi meraikan Tahun Baru Cina.
“Kita harap tahun ular ini dapat memberikan lebih rezeki dan semoga negara kita terus aman makmur serta ekonominya bertambah baik,” katanya kepada pemberita. – WILAYAHKU