KEHADIRAN pertama kali Christopher Luxon ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri New Zealand pada November tahun lepas bukti komitmen serius mengharmonikan hubungan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama dan hubungan pertahanan Malaysia dan New Zealand yang telah lama terjalin sejak Perang Dunia Kedua kini dilonjakkan lagi ke pelbagai aspek serta ruang untuk dimanfaatkan secara bersama.
“Manfaat secara langsung pastinya bukan sahaja akan dirasai menerusi kerjasama pertahanan dua hala secara tetap.
“Malah merangkumi perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian, pendidikan, pertahanan dan keselamatan, industri halal, tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan bencana,” katanya di Facebook.
Menurut Anwar, pada tahun lepas New Zealand merupakan rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania.
“Moga masa depan lebih gemilang akan terpancar menerusi kerjasama dan perbincangan dua hala hasil lawatan penuh bermakna ini,” katanya.
Terdahulu, Luxon yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, Putrajaya semalam.
Luxon disambut Anwar sejurus tiba pada pukul 9.30 pagi kelmarin sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Luxon kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Khairul Fakhzan Zainol Abidin.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu berkaitan hubungan dan kerjasama dua hala di bawah Perkongsian Strategik Malaysia-New Zealand yang dimeterai pada 2023, merangkumi empat tonggak Kemakmuran, Rakyat, Planet, serta Keamanan dan Keselamatan.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah sebanyak RM11.56 bilion (US$2.54 bilion). – WILAYAHKU