KEGAGALAN Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi gencatan senjata di kawasan konflik Palestin-Israel amat memalukan, kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Beliau berkata berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), ia gagal apabila usul yang dibawa oleh Rusia bagi mewujudkan resolusi gencatan senjata itu tidak menerima sokongan daripada sekurang-kurangnya sembilan negara anggota UNSC.
Semasa undian, usul itu hanya mendapat persetujuan daripada empat negara anggota iaitu Russia, China, Gabon dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Usul itu ditolak oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom, manakala sembilan negara anggota mengambil keputusan berkecuali, termasuk Albania, Brazil, Ecuador, Perancis, Ghana, Jepun, Malta, Mozambique, dan Switzerland,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kegagalan itu juga akan memberi impak terhadap kestabilan politik global kerana ia menampakkan kegagalan PBB memainkan peranan yang bermakna dalam pentas politik antarabangsa.
“ABIM ingin menegaskan bahawa krisis kemanusiaan di Gaza yang memuncak kini memasuki hari ke-20, dengan angka kematian dalam kalangan penduduk Gaza melebihi 7,000 orang, melibatkan kanak-kanak, wanita dan warga emas.
“Justeru, ABIM menekankan bahawa semua pihak harus mengutamakan nilai-nilai kemanusiaan sebagai cara untuk menyelamatkan nyawa orang awam dengan menolak kepentingan mana-mana blok politik,” katanya.
Pada masa yang sama bagi menamatkan pergolakan ini ABIM menegaskan semua pihak, khususnya UNSC, harus bertindak segera untuk menghentikan pendudukan Israel di wilayah Palestin. – BERNAMA