Berita

Kegagalan struktur dinding sistem peparitan punca tanah runtuh di Taman Melawati

Foto: BERNAMA
- Diterbit 16 Oktober 2024 4:47 PM MYT

KEGAGALAN pada struktur dinding sistem perparitan menjadi punca kejadian tanah runtuh di Taman Melawati, Ampang Jaya kelmarin.

Aliran air yang banyak akibat hujan lebat pada pagi Selasa selama dua jam dari jam 9 pagi hingga 11 pagi dipercayai melemahkan struktur tanah dan menumbangkan pokok-pokok pada cerun.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan E6 / Jalan Serdang, Taman Melawati, berkata kejadian membabitkan kawasan penyelengaraan jalan dan perparitan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), manakala kawasan cerun runtuh adalah milik pemaju.

“Sebanyak empat buah rumah terjejas dan terhalang oleh sisa runtuhan akibat kejadian ini.

“Runtuhan berlaku sepanjang 30 meter dari kaki cerun dengan keluasan permukaan runtuhan seluas 500 meter persegi.

“Pihak MPAJ telah menjalankan kerja-kerja pembersihan ke atas parit dan akan melaksanakan lencongan air ke parit bersebelahan jalan,” katanya.

Hasil siasatan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (CKC JKR) di tapak mendapati terdapat tanda awal seperti pokok condong dan sedikit keretakan di atas permukaan jalan.

“Terdapat sisa runtuhan yang mengandungi campuran tanah cerun berair, sisa pokok tumbang dan sebuah pondok pengawal di tepi Jalan E6 yang terbalik.

“Kegagalan cerun merupakan hakisan tanah atas permukaan sahaja dan batuan sedimen dasar di bukit masih kukuh,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Maslan lagi, memandangkan kawasan kejadian tanah runtuh melibatkan milik pemaju, pihak MPAJ disarankan mengadakan libat urus bersama pemaju.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa komited dalam memastikan jaringan aspek keselamatan cerun dijaga melalui inovasi teknologi penyenggaraan yang berterusan.

“Ini selaras dengan aspirasi Program MYJalan anjuran KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat dengan penglibatan dan tanggungjawab bersama oleh semua pihak,” katanya – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas