SEBAGAI agensi utama dalam membanteras rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memperhebat penyiasatan serta inisiatif pencegahan dan pendidikan yang lebih berkesan.
Penegasan SPRM itu susulan pengumuman Transparency International Malaysia (TI-M) berhubung keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 yang menyaksikan negara mengekalkan skor 50 dan berada di kedudukan ke-57 secara global.
Mengambil maklum pengumuman itu, SPRM turut menegaskan keazaman untuk bersama meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI.
“SPRM melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) yang berperanan sebagai urus setia kepada Pasukan Petugas Khas CPI dan dipimpin oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), akan terus meneliti dapatan survei bagi mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
SPRM memberitahu, pihaknya juga akan mempergiat kerjasama dengan semua pemegang taruh termasuk kementerian, sektor swasta, masyarakat sivil, serta TI-M.
Katanya, usaha mempertingkatkan CPI bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan tetapi juga memerlukan usaha sepadu daripada semua pihak.
“Justeru, SPRM menyeru semua pihak agar meneruskan kerjasama serta memainkan peranan masing-masing untuk menambah baik strategi pencegahan dan memperkukuh tadbir urus demi mencapai sasaran kerajaan meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia menjelang 2033,” katanya.
Malaysia mengekalkan skor 50 dan berada di kedudukan ke-57 bagi keputusan CPI daripada 180 negara, sama seperti tahun lalu.
Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan kedua terbaik selepas Singapura yang memperoleh 84 mata, diikuti Vietnam dengan 40 mata, serta Indonesia (37), Thailand (34), Filipina (33), Laos (33), Kemboja (21) dan Myanmar (16). – WILAYAHKU