“SYUKUR alhamdulillah, rasa macam mimpi. Rumah yang dahulunya gelap kini sudah berwajah baharu dan ceria,” luah peserta Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan Siri ketiga, Rosli Hamidon, 67, yang ditemui ketika sesi penyerahan kunci di Perumahan Awam Sri Johor, baru-baru ini.
Bapa tunggal kepada enam orang anak ini bersyukur apabila terpilih dalam program berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu anugerah berharga kepada keluarganya yang telah mendiami rumah berkenaan lebih 20 tahun.
“Syukur kepada Allah SWT, saya hargai malah sangat gembira dengan keadaan rumah yang sudah berubah jauh lebih baik daripada sebelum ini. Anak-anak saya pun suka,” ujarnya.
Menerusi program itu, kediamannya telah dibaik pulih, dicat baharu, penyelenggaraan sistem pendawaian elektrik selain mereka turut diberi sebuah televisyen.
“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kerana sudi memberikan kerusi roda moden kepada anak saya yang kini sedang terlantar sakit akibat kecederaan saraf tunjang sehingga lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2012,” katanya yang tidak bekerja dan menerima bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM500 sebulan.
Terdahulu, Majlis Penyerahan Kunci Rumah kepada Rosli disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Untuk rekod, Rosli Hamidon merupakan peserta ketiga yang terpilih untuk memiliki pengubahsuaian rumah menerusi program berkenaan selepas kejayaan siri pertama yang dilaksanakan di sebuah kediaman di Apartmen Seri Penara, Bandar Sri Permaisuri pada Mei lepas dan siri kedua di Lorong Mewah 7, Bandar Tun Razak pada Oktober lepas.
Inisiatif Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan diperkenalkan sejak Mac 2023 di bawah Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak melibatkan kos sebanyak RM30,000. – WILAYAHKU