Berita

Kedatangan 2024 diharap beri suasana lebih cerah, positif kepada rakyat – PM

- Diterbit 31 Disember 2023 11:05 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan kedatangan Tahun Baharu 2024 akan memberi suatu suasana lebih cerah dan positif kepada rakyat dengan Kerajaan Perpaduan akan menumpukan usaha terhadap pembangunan ekonomi demi kesejahteraan mereka.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara ini akan terus menjadi tumpuan kerajaan bagi meredakan kesusahan rakyat daripada pelbagai aspek seperti inflasi, pengangguran dan kos sara hidup, selain menjamin perkhidmatan mutu pendidikan dan kesihatan.

Dalam hal itu, Anwar menggesa Jemaah Menteri, barisan pegawai kanan, agensi  penguat kuasa, badan keselamatan, penjawat awam serta sektor swasta supaya meningkatkan usaha menjadikan Malaysia sebagai negara yang hebat dan gagah di rantau ini.

“Kita melabuh tirai menutup tahun 2023, wajar saya mulakan dengan memberikan sedikit rumusan mengulangi apa yang telah disampaikan kepada umum bahawa kedudukan prestasi pertumbuhan ekonomi masih bertahan kepada empat peratus.

Ini antara terbaik, tetapi ada lagi nikmat dan kejayaan, umpamanya penurunan inflasi kurang daripada dua peratus, penurunan kadar pengangguran yang sangat rendah,” katanya menerusi video yang dikongsikan di Facebook beliau malam ini.

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau tidak mahu terpukau dengan angka dan data berkenaan kerana ukuran sebenarnya ialah kemaslahatan, kebajikan serta kesejahteraan rakyat dan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat ketika ini masih perlu ditangani.

Perdana Menteri berkata tumpuan penuh terhadap usaha memacu pertumbuhan ekonomi perlu dilakukan dengan membetulkan tatakelola dalam kepimpinan serta pentadbiran awam.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana berjaya melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

Sementara itu, Anwar berkata bagi memastikan setiap dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, kaedah penyampaian perkhidmatan yang lama tidak boleh lagi diguna pakai, sebaliknya perlu  diperbaiki dan ia termasuk mempercepatkan proses kelulusan setiap jabatan seolah-olah menghadapi isu keselamatan dan keadaan darurat.

Beliau berkata hanya dengan cara ini, ekonomi boleh dipacu dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas