‘SEGAK‘ mengenakan baju bertemakan Jalur Gemilang sambil memakai tanjak dan cermin mata hitam menjadikan King Oyen antara tumpuan pengunjung yang hadir ke Sambutan Hari Kebangsaan 2023.
King Oyen yang merupakan seekor kucing berwarna oren kelihatan santai apabila orang ramai mengerumuninya untuk bergambar.
Pemiliknya, Siti Zalifah Abdul Aziz, 50, berkata kucingnya itu memang selalu dibawa kemana-mana cuma bezanya pada kali ini sempena sambutan Hari Kebangsaan, dia menyediakan sepasang baju bertemakan Jalur Gemilang buat haiwan kesayangannya itu.
“Tak sangka pula ramai yang datang dan minta untuk bergambar dengan King Oyen, jadi kami layankan sahaja,” ujarnya yang ‘berkampung’ di Dataran Putrajaya untuk memberi sokongan kepada suami yang menyertai perbarisan pada hari ini,”
Terdahulu, King Oyen sudah pun mempunyai peminat tersendiri sejak tular pada tahun lalu menerusi sosial media.
“King Oyen selalu ikut saya dan pasangan pergi berbasikal sama ada di dalam atau luar negera. Bila berada di kawasan yang cantik, saya akan tangkap gambar dan juga video King Oyen untuk dimuat naik di Instagram dan TikTok,” ujarnya pengikut King Oyen di laman sosial teruja untuk mengetahui tentang kehidupan haiwan tersebut.
Berkongsi lanjut tentang King Oyen, dia yang juga dikenali sebagai Mummy Oyen berkata, jika dirumah kucingnya itu lebih nakal berbanding di luar.
“Alhamdulillah ketika berada di luar King Oyen sangat mendengar cakap mummy dan behave. Kadangkala ada juga ragamnya tapi setakat ini masih okay,” jelasnya ia memakan masa tiga bulan untuk melatih King Oyen memakai kostum tersebut. – WILAYAHKU
