Berita

Kebocoran gas ammonia: Keadaan 18 mangsa termasuk dua ibu hamil stabil – KKM

KREDIT foto: Bomba.
- Diterbit 17 Februari 2024 1:20 PM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan 18 mangsa yang sedang dirawat di tiga hospital sekitar Lembah Klang susulan insiden kebocoran gas ammonia di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7, Shah Alam, semalam, dalam keadaan stabil.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata 10 mangsa dimasukkan ke Hospital Shah Alam dan lima lagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, manakala tiga individu di Hospital Sungai Buloh.

“Keadaan mereka stabil, 14 daripada mereka mengalami gejala ringan yang boleh dirawat seperti pesakit luar.

“Empat mangsa lagi termasuk dua ibu mengandung dimasukkan ke dalam wad bagi pemantauan, namun tiada kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia di sini hari ini, sebagai mengulas status mangsa kebocoran gas ammonia yang sedang dirawat di fasiliti KKM.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar semalam dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.15 pagi berhubung kejadian tersebut dan mendapati terdapat kebocoran gas ammonia daripada injap tangki penyimpanan gas tersebut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan awal mendapati kebocoran berlaku apabila jentera pengangkat terlanggar injap satu tangki ammonia, ketika kerja mengalihkan tangki tersebut, manakala pihak kilang telah menghubungi vendor untuk pembaikan injap terbabit dan operasi tamat pada 6.30 petang Jumaat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas