Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
PENIAGA memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan hidangan bagi mengelakkan berlakunya kes keracunan makanan kepada pembeli.
Pelbagai faktor boleh menjadi penyumbang kepada kes berkenaan antaranya pencemaran silang, pengabaian suhu memasak atau suhu penyimpanan, teknik masakan yang tidak betul dan sebagainya.
Salah seorang peniaga, Nuran Feizal, 40, kualiti dan kebersihan makanan adalah perkara asas yang tidak boleh dipandang ringan terutama oleh peniaga jalanan.
“Antara perkara yang kami tekankan kepada pekerja adalah jangan meletakkan makanan yang sudah atau tidak perlu dimasak bersama dengan bahan mentah, memakai sarung tangan ketika memegang makanan dan jangan memegang benda lain selain makanan menggunakan sarung tangan yang sama.
“Selain itu, sebagai pengendali makanan semestinya pekerja kami mengambil suntikan tifoid dan kursus pengendalian makanan,” ujarnya.
Menyedari perniagaan jalanan berisiko terdedah kepada punca berlakunya keracunan makanan, Nuran berkata dia akan memastikan makanan dalam keadaan baik sebelum dijual.
“Saya juga selalu berpesan kepada pekerja supaya merasa makanan yang dijual terlebih dahulu untuk mengelakkan perkara tidak diingini.
“Namun saya yakin setiap peniaga mempunyai strategi dan cara masing-masing dalam mengendalikan makanan yang dijual. Setiap keadaan boleh diguna pakai selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan.
“Walau bagaimanapun, kebersihan adalah kunci utama dalam pengendalian makanan dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dikrompomi,” ujarnya.
Bagi pemilik BBQ Lamb KL Kemensah, S Ibariyanurmi Iberahim, 46, pihaknya tidak pernah menggunakan kaedah memanaskan semula makanan.
“Cara saya kalau nak makan pagi masak pagi, makan malam masak malam tapi sebenarnya tiada masalah untuk panaskan lauk selagi mana pengendali makanan itu menitikberatkan soal kebersihan serta kualiti makanan tersebut.
“Sebagai contoh sayur-sayuran yang digunakan perlulah direndam terlebih dahulu bukan sekadar lalu air dan terus campak ke dalam kuali,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mem.
Berkongsi tips untuk mengelakkan makanan daripada basi, Mem berkata ia bergantung kepada cara penyediaan makanan tersebut serta kaedah penyimpanannya.
“Semasa proses penyediaan makanan itu, perlu pastikan ia tidak dicemari dengan sebarang kuman atau bakteria kerana itu akan membuatkan makanan itu lebih tahan.
“Sebenarnya untuk semua jenis makanan kita kena tahu tempoh masakan yang bersesuaian untuk mengelakkan ianya basi. Itu adalah ilmu masakan yang perlu ada dalam setiap diri pengendali makanan,” ujarnya yang menjalankan perniagaan sejak tahun 2017. – WILAYAHKU