KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) akan melaksanakan mekanisme susulan menerusi tinjauan impak, kajian soal selidik berterusan dan temu bual mendalam terhadap bekas peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi menilai keberkesanan program berkenaan.
Menurut kementerian itu, data tersebut akan dianalisis oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).
“Data-data ini untuk menilai sejauh mana peserta menghayati nilai-nilai perpaduan, patriotisme dan tanggungjawab sosial yang diterapkan sepanjang tempoh program,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
MINDEF menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai dapatan awal peserta yang terlibat dalam latihan percubaan PLKN 3.0.
Kementerian itu menambah, dapatan awal daripada pelaksanaan PLKN 3.0 siri pertama menunjukkan bahawa program ini mempunyai potensi besar untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Penilaian ini katanya, dapat dilihat melalui beberapa aspek utama iaitu keberkesanan modul, kemahiran dan keupayaan jurulatih serta pengoperasian dan logistik.
Dari segi keberkesanan modul jelasnya, maklum balas daripada peserta menunjukkan bahawa modul yang disediakan adalah relevan dan berkesan dalam meningkatkan nilai-nilai disiplin, semangat perpaduan serta kemahiran insaniah.
“Walau bagaimanapun terdapat beberapa cadangan untuk menambah baik kandungan modul agar lebih interaktif dan sesuai dengan keperluan generasi muda masa kini.
“Dari aspek kemahiran dan keupayaan jurulatih, mereka dinilai memiliki asas kemahiran yang baik dalam menyampaikan kurikulum walaupun terdapat sedikit kekangan
yang boleh diperbaiki untuk memastikan keseragaman dan keberkesanan penyampaian modul.
“Oleh itu latihan tambahan telah disarankan bagi meningkatkan kecekapan dan profesionalisme jurulatih,” katanya.
Jelas MINDEF, dari segi pengoperasian, walaupun jadual aktiviti program agak padat, namun ia telah berjaya dilaksanakan dengan baik oleh peserta dan jurulatih tanpa sebarang masalah.
Katanya, penjadualan semula aktiviti boleh dipertimbangkan untuk mengelakkan keletihan dalam kalangan peserta dan jurulatih, di mana penjadualan yang lebih fleksibel berpotensi meningkatkan keberkesanan program serta memberikan pengalaman yang lebih positif kepada semua pihak yang terlibat.
Dari sudut logistik tambahnya, pelaksanaan program telah diselaraskan dengan baik, terutamanya dalam aspek penyediaan penginapan, makanan, peralatan dan kemudahan latihan.
“Penggunaan teknologi seperti aplikasi atau platform digital juga dilihat dapat meningkatkan kecekapan pengurusan data peserta dan jurulatih, membolehkan pemantauan program dilakukan secara real-time.
“Selain itu keberkesanan program dapat dipertingkatkan melalui kerjasama yang lebih erat antara pihak pengurusan, jurulatih, dan pasukan logistik. Komunikasi yang lebih efektif antara semua pihak akan memastikan pelaksanaan program berjalan dengan lebih lancar dan efisien,” katanya. – WILAYAHKU