BUNYI siren penggera dengan asap tebal dikesan di tingkat tiga pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur sekitar pukul 8 malam tadi mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung.
Dalam video yang tular di laman media sosial, orang ramai diarah untuk keluar dengan keadaan dikawal oleh pengawal keselamatan pusat beli-belah itu.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Azimin Mohd Zaidi berkata, kebakaran berlaku di bahagian tangga laluan kecemasan melibatkan longgokan kotak yang terbakar di dalam tong sampah.
Menurut beliau, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) di Pusat Gerakan Operasi pada pukul 8.12 malam.
“Kita menghantar jentera ke tempat kejadian dengan kekuatan 22 orang anggota sebagai ‘first responder’ untuk menangani insiden kecemasan.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati asap tebal di tingkat tiga dan anggota operasi bertindak mencari punca api,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohd Azimin berkata, anggota operasi menggunakan satu aliran hos untuk pemadaman serta membuat kerja-kerja ventilasi.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.45 malam.
“Tiada mangsa yang terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – WILAYAHKU
caption: LONGGOKAN kotak yang terbakar di dalam tong sampah di tingkat tiga pusat beli-belah Suria KLCC.