PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menggesa supaya satu Suruhanjaya Bebas Di Raja (RCI) atau badan siasatan bebas ditubuhkan segera bagi menyiasat insiden kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim, berkata langkah ini penting untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian, sama ada disebabkan faktor alam sekitar atau kecuaian manusia, serta memastikan tiada pihak yang cuba melindungi kepentingan tertentu.
“Kami menegaskan bahawa penggubal dasar harus dinilai berdasarkan integriti dan profesionalisme mereka. Pelaksana dasar pula mesti bertanggungjawab terhadap tatakelola serta kecekapan kerja mereka, manakala syarikat berkaitan perlu menanggung sepenuhnya sebarang kerugian dan pampasan tanpa melibatkan dana awam atau membebankan rakyat,”
“Kejadian yang mencetuskan kebimbangan awam itu menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan infrastruktur kritikal negara serta tanggungjawab pihak berkaitan dalam mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang,” katanya dalam satu kenyataan media.hari ini.
Menurut Jais, syarikat itu tidak seharusnya menggunakan dana kerajaan atau mempengaruhi syarikat insurans bagi menanggung pampasan, yang berisiko menyebabkan peningkatan premium insurans pada masa hadapan.
“Setakat ini, masih tiada kenyataan rasmi daripada Petronas bagi memohon maaf atau menyatakan kesediaan mereka menanggung pampasan.
“Sikap ini hanya menambah penderitaan mangsa yang kini mengalami trauma serta memerlukan rawatan. Kami menuntut agar Petronas segera mengeluarkan kenyataan rasmi dan menunjukkan kebertanggungjawaban,” katanya.
MCW turut menuntut agar Petronas Gas bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerugian harta benda serta pampasan kepada mangsa yang terjejas.
Jais berkata pihaknya menekankan kepentingan pemantauan ketat terhadap laluan paip gas, yang merupakan kawasan rezab keselamatan.
“Kawasan ini sepatutnya dipagar dan diawasi rapi bagi mengelakkan sebarang pembinaan struktur atau laluan awam yang boleh meningkatkan risiko kemalangan.
“Petronas Gas perlu memasang CCTV dan sistem penggera moden bagi mengesan pencerobohan atau ancaman keselamatan lebih awal. Kelemahan dalam pengawasan dan standard keselamatan tidak boleh dipandang remeh,” tambahnya.
Dalam pada itu, MCW menggariskan beberapa tuntutan utama bagi memastikan kejadian ini menjadi titik perubahan dalam pengurusan infrastruktur kritikal negara:
“Siasatan bebas dan telus perlu dijalankan segera danPetronas Gas mesti mengambil tanggungjawab penuh terhadap kejadian ini.
“Kerajaan perlu memperketatkan peraturan keselamatan bagi infrastruktur kritikal dan pihak berkuasa mesti memastikan tiada perlindungan terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
Ujar beliau, orang ramai dan mangsa tidak boleh berterusan menunggu tragedi sebelum bertindak.
“Keselamatan rakyat harus menjadi keutamaan utama, mengatasi sebarang kepentingan lain,” tegas Jais.-WILAYAHKU