Berita

Kebakaran hutan Los Angeles: Warga Malaysia dinasihatkan berhati-hati

Foto: AP
- Diterbit 9 Januari 2025 9:15 AM MYT

WARGA Malaysia yang tinggal atau melawat kawasan terjejas dengan kejadian kebakaran hutan di Los Angeles, California dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dan mengikuti arahan pemindahan oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut Wisma Putra, mereka juga diminta mendapatkan maklumat terkini mengenai kejadian tersebut melalui saluran rasmi.

“Pihak Kementerian Luar Negeri menasihatkan rakyat Malaysia di Los Angeles untuk mendaftar melalui E-Konsular dan terus berhubung rapat dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles bagi kemas kini dan bantuan.

“Setakat ini tiada laporan melibatkan rakyat Malaysia diterima (terjejas) dengan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Wisma Putra menambah, pihaknya melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, memantau dari semasa ke semasa kejadian kebakaran hutan yang berlaku di Los Angeles itu.

Katanya, kejadian itu memaksa lebih 30,000 orang dipindahkan dengan kebakaran memusnahkan hampir 3,000 ekar kawasan di Pacific Palisades.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan dan memberikan kemas kini (berhubung kejadian itu),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas