TIADA rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden kebakaran tragik di Hotel Grand Kartal dekat Resort Ski Kartalkaya, Bolu, Turkiye, pagi semalam.
Kejadian pada pukul 3.27 pagi (waktu tempatan) itu mengorbankan 76 nyawa setakat ini dan mencederakan 51 yang lain.
Wisma Putra memberitahu, kerajaan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul sedang memantau rapi perkembangan susulan insiden kebakaran tersebut.
“Setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden itu.
“Kerajaan Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Turkiye serta keluarga dan mangsa yang terlibat,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah Wisma Putra, Malaysia bersama bersolidariti dan mendoakan agar semua pihak diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi waktu yang sukar ini. – WILAYAHKU