PULAU bebas cukai Labuan sememangnya terkenal dengan keindahan pantai serta khazanah alam semula jadi yang menjadi tarikan kepada pengunjung.
Kelebihan itu juga bakal mengangkat pulau tersebut menjadi destinasi pelancongan terkemuka seiring hasrat kerajaan.
Pelbagai lokasi menarik di Labuan berpotensi untuk diperluaskan sebagai lokasi pelancongan berteraskan pertanian antaranya Ternakan Rimba Madu Kelulut di Kampung Layang-Layangan.
Diusahakan oleh Syarikat Rimbun Madu Enterprise‚ pemiliknya Abbas Khalidin‚ 65‚ mula menjinakkan diri dalam bidang tersebut pada tahun 2015.
Idea tersebut tercetus apabila dia mengalami masalah kesihatan dan disarankan oleh rakannya untuk mengamalkan madu kelulut.
“Alhamdulillah berkat khasiat madu tersebut‚ kesihatan semakin pulih selain badan juga turut bertenaga. Jadi‚ bermula daripada situ jugalah saya mahu menyebarluaskan manfaat madu kelulut ini kepada orang ramai‚” ujar bapa kepada lima orang cahaya mata ini.
Di atas tanah seluas dua ekar‚ Abbas memulakan ternakan kelulut di mana hampir 90 peratus yang ada di kebunnya terdiri daripada spesies Trigona Itama kerana ia lebih mudah dipantau berbanding spesies lain.
“Ketika itu‚ langkah pertama saya untuk memulakan ternakan ini adalah mencari sarang kelulut di hutan kerana waktu itu tiada pembekal seperti sekarang dan masa itu juga saya memulakannya dengan lima sarang.
“Kemudian‚ saya ada mendapatkan sarang kelulut spesies Trigona Itama dengan harga sekitar RM200 daripada rakan dan ia merupakan antara spesies yang mudah dipantau dan memberikan hasil yang terbaik.
“Selain itu‚ saya juga turut mempunyai spesies Trigona Thoracica yang dibeli dengan harga RM800 ketika itu. Ia merupakan spesies baik untuk membuat terapi‚” ujarnya yang merupakan bekas pegawai di Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Bermula dengan hanya lima sarang kelulut‚ kini setelah sembilan tahun mengusahakannya‚ dia mempunyai lebih 500 sarang yang berpenghuni serta produktif.
Bercerita lanjut mengenai ternakan madu kelulutnya‚ Abbas mengakui meskipun penjagaan serangga itu mudah namun ia perlu dipantau selain memastikan persekitaran yang baik agar dapat membantu kelulut menghasilkan madu lebih banyak dan berkualiti tinggi.
“Kita perlu sentiasa pastikan kebersihan di kawasan sekitar untuk mengelakkan ancaman terhadap kelulut antaranya kumbang‚ semut dan katak.
“Alhamdulillah kini perusahaan ini telah pun berkembang dan permintaan tidak putus-putus. Kami juga berjaya menembusi pasaran di Semenanjung‚ Sabah‚ Sarawak dan Brunei‚” ujarnya.
Dalam masa yang sama‚ Abbas turut menghasilkan pelbagai produk daripada ternakan kelulut dan produk utamanya adalah madu kelulut asli.
TUMPUAN PELANCONG
Sejak mengusahakan tanaman kelulut‚ Abbas mengakui kebunnya sering menerima kunjungan bukan sahaja dalam kalangan pelancong tempatan bahkan luar negara yang ingin merasai kenikmatan madu kelulut asli.
Dalam masa yang sama‚ terdapat banyak tanaman makanan kelulut ditanam seperti Honolulu Creepers‚ Bunga Tunera‚ Belimbing‚ Pokok Pinang yang sentiasa dikunjungi kelulut untuk sumber makanannya.
Menariknya selain lokasi tumpuan pelancong yang ingin merasai pengalaman melihat sarang kelulut dan pemprosesan penyedutan madu dilakukan‚ kebunnya turut dipenuhi dengan pelbagai tanaman buah-buahan tempatan.
“Bermula tahun 2019‚ kebun saya sering dikunjungi oleh pelancong dalam dan luar negara yang mahu mendapatkan sendiri madu kelulut. Selain itu‚ mereka juga boleh menikmati buah-buahan bermusim seperti durian‚ rambutan‚ kedondong dan banyak lagi‚” ujarnya.
Mengakui pasaran madu kelulut mendapat sambutan di Labuan‚ Abbas berharap agar agensi terlibat membantunya untuk melengkapkan kemudahan yang diperlukan supaya perusahaan tersebut dapat dikembangkan lagi.
“Di Labuan kita amat kekurangan bekalan dan pengusaha madu kelulut. Ini amat merugikan kerana permintaan terhadapnya amatlah tinggi. Jadi‚ saya menyeru kepada anak muda di luar sana untuk menceburi bidang ini dan saya sedia memberikan tunjuk ajar dan panduan yang diperlukan‚” ujarnya. – WILAYAHKU