MALAYSIA tidak boleh mengambil ringan isu keselamatan dan ketenteraman awam, apatah lagi menganggap keamanan yang dikecapi berlaku secara semula jadi, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau turut menekankan bahawa keamanan negara adalah hasil perancangan strategik dan kecekapan penguatkuasaan, khususnya oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Malaysia kini berada di kedudukan ke-10 dalam Indeks Keamanan Global (GPI) daripada 163 negara, meningkat daripada kedudukan ke-19 tahun lalu. Ini menunjukkan kejayaan kita dalam memastikan kestabilan nasional dan keselamatan awam berada pada tahap terbaik,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Saifuddin berkata dalam aspek ketelusan dan tadbir urus, Malaysia turut mencatat peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), membuktikan komitmen kerajaan dan PDRM dalam memperkukuh integriti serta membanteras salah guna kuasa dalam pasukan keselamatan.
“Jabatan Negara Amerika Syarikat mengekalkan Malaysia dalam Tier 2 dalam laporan tahunan mereka mengenai pemerdagangan manusia. Status ini mencerminkan kemajuan ketara negara dalam usaha menangani jenayah pemerdagangan manusia, walaupun masih ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya.
Menurut Saifuddin, PDRM terus memperhebat operasi dalam membanteras jenayah, dengan kejayaan besar direkodkan dalam dua bulan pertama tahun ini.
“Pasukan Gerakan Am (PGA) telah melaksanakan Operasi Hazard dan Operasi Ewes dengan nilai rampasan hampir RM3 bilion. Ini termasuk usaha memerangi penyeludupan manusia, dadah, senjata api, serta aktiviti jenayah transnasional yang berpotensi menggugat kestabilan negara,” jelasnya.
Beliau turut menekankan peranan strategik Polis Marin dan PGA dalam memperketat kawalan di laluan berisiko tinggi seperti Sungai Golok, di mana sebanyak 134 pangkalan haram telah ditutup sepenuhnya sebagai langkah membanteras aktiviti penyeludupan.
Sementara itu, Saifuddin memberitahu, bagi memastikan kelancaran perjalanan rakyat sempena Aidilfitri, sebanyak 6,800 anggota polis akan ditugaskan mulai 29 Mac hingga 3 April.
“Ini adalah sebahagian daripada pengorbanan anggota kita untuk memastikan keselamatan rakyat terjaga.
“Justeru, kita menyeru masyarakat agar berdisiplin di jalan raya dan merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan kesesakan serta kemalangan,” katanya.
Dalam aspek keselamatan sempadan, Ops Pagar Laut telah dilancarkan sepanjang Ramadan untuk membanteras penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin.
“Kami di KDN tidak akan sesekali berkompromi dalam soal keselamatan negara.
“Langkah kawalan sempadan dan tindakan penguatkuasaan yang berterusan ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang selamat dan stabil,” tegasnya.-WILAYAHKU