KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang serius dalam usaha menggalakkan industri automotif berteraskan kenderaan elektrik (EV).
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, usaha itu dilakukan menerusi pelbagai inisiatif antaranya peralihan kenderaan rasmi kerajaan kepada EV.
“Usaha lain seperti melanjutkan pengecualian duti import bagi komponen EV pemasangan tempatan sehingga Disember 2027. Kerajaan juga menawarkan potongan cukai sehingga RM300,000 untuk syarikat yang menyewa kenderaan elektrik bukan komersial dan mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh Malaysia menjelang 2025,” katanya.
Tambahnya, Proton Holdings Bhd (PROTON) juga sedang giat menyahut seruan kerajaan menerusi pengeluaran Proton e.MAS 7 sekaligus memperlihatkan kerajaan memberi tumpuan mengarusperdanakan industri kenderaan EV melalui jenama nasional negara.
Beliau berkata, dorongan daripada kerajaan ini bukan sahaja satu galakan tetapi komitmen luar biasa yang pernah ditunjukkan bagi memastikan Malaysia seiring negara-negara lain untuk memajukan industri automatif EV tempatan.
“Saya tidak terkejut rakyat semakin memilih kenderaan EV sebagai pilihan utama mereka dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang hasil daripada galakan, insentif dan keupayaan teknologi yang syarikat tempatan kita miliki,” katanya.
Malaysia kini memiliki EV pertama melalui inisiatif PROTON dengan pengenalan Proton e.MAS 7.
Pelancaran yang disempurnakan Anwar itu bukan sahaja menandakan satu langkah besar dalam sektor automotif negara, malah turut menggambarkan komitmen Malaysia dalam mengorak langkah ke arah kemampanan dan inovasi teknologi hijau.
Ditawarkan pada harga bermula RM109,800, Proton e.MAS 7 tampil dengan dua pilihan iaitu varian Prime (bermula RM109,800) dan versi tertinggi Premium (RM123,800).
Seramai 3,000 pelanggan awal bakal menikmati rebat RM4,000 yang menyaksikan varian Prime bermula RM105,800 dan Premium bermula RM119,800.
Pada 16 Disember lalu, Perdana Menteri dalam ucaptama pelancaran e.MAS 7 berkata, pelancaran EV pertama jenama Malaysia adalah pencapaian penting dalam membawa kejayaan negara dalam sektor automotif.
Untuk jarak perjalanan, varian Proton e.MAS 7 Prime boleh bergerak sejauh 345 kilometer, manakala e.Mas 7 Konfigurasi itu cukup untuk membolehkan Proton e.MAS 7 memecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.9 saat, sekaligus menjadikan ia model pengeluaran paling pantas PROTON setakat ini. – WILAYAHKU