HUMAN Immunodeficiency Virus atau HIV adalah penyakit berisiko yang kekal sepanjang hayat di dalam tubuh badan. Pengetahuan tentang maksud, cara dan langkah mencegah penyebarannya sangat penting bagi memupuk kesedaran untuk menghindari daripada dijangkiti.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya mengambil pelbagai langkah pencegahan serta rawatan khususnya di ibu kota selaras hasrat mencapai Bandar raya Kuala Lumpur Menuju Sifar HIV menjelang 2030.
Bagi mengetahui lebih lanjut, ikuti temu bual eksklusif wartawan Wilayahku, HAZIRAH HALIM dan jurufoto, SHUAIB AYOB serta juruvideo, AHMAD HASIF HALIMI bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit HIV/STI Jabatan Kesihatan WPKL dan Putrajaya, DR RAUDAH ABD RAHMAN.
WILAYAHKU: Apakah itu jangkitan HIV?

DR RAUDAH: HIV adalah sejenis virus daripada kumpulan retrovirus yang boleh melemahkan sistem ketahanan badan dan keupayaan seseorang melawan jangkitan secara optimum. Individu yang disahkan HIV positif akan digelar sebagai pembawa HIV di mana ia akan membawa virus tersebut sepanjang hayat.
HIV juga adalah virus yang menyerang sistem imunisasi badan khususnya sel CD4 (Sel T) iaitu sistem yang membantu imun melawan sebarang jangkitan. Sekiranya bilangan sel CD4 di dalam badan berkurangan, individu itu lebih cenderung mendapat jangkitan yang teruk dan sesetengah jenis kanser jika tidak dirawat. Malah, ia juga boleh memusnahkan banyak sel-sel sehingga tubuh tidak dapat melawan jangkitan penyakit dan mengakibatkan pesakit HIV merosot kepada peringkat akhir HIV iaitu Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS).
Adakah HIV sama dengan AIDS?
Tidak sama. AIDS adalah peringkat akhir jangkitan HIV berlaku apabila sel CD4 kurang daripada 200 atau berlaku jangkitan opportunistic atau sesetengah jenis kanser-kanser tanpa mengira paras sel CD4. Pembawa HIV tidak akan berakhir menjadi AIDS sekiranya mendapat rawatan sewajarnya.
Apakah faktor yang menyebabkan jangkitan HIV?
Banyak mitos yang mengatakan jangkitan HIV boleh merebak melalui air liur, sentuhan dan peluh sebaliknya ia tidak benar kerana HIV hanya boleh merebak melalui tiga cara iaitu pertama; perkongsian jarum dadah suntikan. Kedua, hubungan seks yang berisiko dan ketiga, HIV boleh disebarkan daripada ibu kepada anak sama ada ketika mengandung, melahirkan atau semasa menyusu.
Risiko untuk anak dijangkiti HIV daripada ibu adalah lebih tinggi sekiranya ibu telah disahkan positif HIV dan tidak menerima sebarang rawatan daripada mana-mana klinik kesihatan mahupun hospital.
Risiko jangkitan HIV yang manakah lebih tinggi?
Di Malaysia mahupun di dunia, terdapat perubahan dalam landskap faktor risiko penularan jangkitan HIV. Sejak kes pertama HIV dilaporkan di Malaysia adalah disebabkan perkongsian jarum dadah suntikan. Namun kini, majoriti kes baru HIV adalah disebabkan hubungan seks yang berisiko.
Pada tahun 2022, daripada 380 kes baru HIV yang dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, 96 peratus adalah disebabkan hubungan seksual berisiko manakala hanya empat kes baru HIV disebabkan perkongsian jarum dadah suntikan. Perubahan landskap faktor risiko ini menyebabkan bilangan kes baru HIV mendatar sahaja iaitu tidak menunjukkan peningkatan atau penurunan yang ketara terutama sejak 10 tahun kebelakangan ini.
Adakah HIV boleh dicegah dan dirawat?
Ya. Jangkitan HIV boleh dicegah. Pencegahan HIV adalah semudah ABCDE iaitu A; Abstinence (elak diri daripada faktor risiko jangkitan HIV), B; Be faithful (setia dengan pasangan), C; Condom (penggunaan condom semasa hubungan seks dengan pasangan tidak diketahui status HIV), D; Do not drug (jangan ambil dadah jarum suntikan atau dadah sintetik) dan E: Early diagnosis and treatment (pengesanan awal dan dapatkan rawatan).
HIV tidak boleh sembuh tetapi boleh dirawat dengan mengambil ubat anti-retroviral (ARV) setiap hari sepanjang hayat. Dengan rawatan, orang yang hidup dengan HIV boleh menjalani kehidupan seperti orang lain.
Benarkah lelaki dan wanita yang menghidap HIV tidak boleh berkahwin?
Jabatan Agama Islam setiap negeri mewajibkan bakal pengantin beragama Islam untuk melakukan ujian saringan HIV.
Bakal pengantin yang didapati positif HIV semasa saringan sebelum perkahwinan sebenarnya boleh meneruskan perkahwinan dan perlu dirujuk untuk mendapatkan rawatan ARV. Paras virus HIV akan dipantau secara berkala semasa rawatan ARV. Jika paras virus masih belum mencapai tahap undetectable, mereka perlu menggunakan kondom semasa hubungan kelamin dan pasangannya dinasihatkan mengambil ubat pre-exposure prophylaxis (PrEP) bagi mencegah penularan HIV. Apabila paras virus HIV telah mencapai paras undetectable semasa masih dalam rawatan ARV, orang yang hidup dengan HIV tidak akan menjangkiti orang lain. Konsep ini dipanggil Undetectable equals to untransmittable (U=U).
Kementerian Kesihatan Malaysia juga menitikberatkan aspek pencegahan dan rawatan kepada ibu mengandung misalnya ujian saringan HIV semasa temu janji antenatal pertama dan semasa 28 minggu kandungan. Jika didapati positif, rawatan ARV akan diberikan sepanjang hayat bagi memastikan anak dalam kandungan tidak dijangkiti HIV. Selain itu, ujian saringan sifilis juga dijalankan ke atas ibu hamil dan jika positif, ibu akan dirawat supaya bayi tidak mendapat jangkitan sifilis daripada ibu.
Pada tahun 2018, Malaysia merupakan negara Pasifik Barat pertama menerima pengiktirafan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana berjaya menerima pensijilan validasi eliminasi jangkitan sifilis dan HIV dari ibu kepada anak (elimination of mother-to-child transmission of HIV and syphilis – eMTCT).
Apakah pendekatan yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan WPKL dan Putrajaya untuk mengurangkan kadar kes HIV khususnya di Kuala Lumpur?
Pada tahun 2005, KKM telah melaksanakan program pengurangan kemudaratan di mana pada ketika itu, kami memfokuskan kepada pencegahan dan rawatan buat penagih dadah dengan cara memberi jarum suntikan bersih kepada mereka.
Sejak tahun 2005 juga, KKM telah memperkenalkan Program Rawatan Terapi Gantian (RTG) dadah bagi mencegah jangkitan dan penularan penyakit khususnya HIV yang disebabkan oleh perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah.
Melalui RTG, KKM telah memberikan gentian Methadone iaitu sejenis ubat bagi menggantikan ketagihan terhadap heroin dan morfin di mana jika mereka mengambil ubat ini mengikut dos yang betul, Methadone akan bertindak mengawal ketagihan dan tanda-tanda pengunduran tanpa rasa gembira (euphoria), khayal atau rasa sakit (analgesia).
Selain itu, kita turut berikan kondom percuma kepada individu yang terlibat dalam seks rambang. Dalam faktor kes ini, ia amat susah dibendung tetapi kita telah bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur untuk membantu mengenal pasti siapa yang berisiko untuk kita lakukan saringan HIV/AIDS.
Dalam masa yang sama, kita akan melatih pekerja-pekerja NGO ini untuk turut sama melakukan saringan di komuniti, sekiranya mereka mendapati ada dalam kalangan komuniti positif HIV, mereka akan dibawa untuk mendapatkan rawatan.
Di samping itu, Jabatan Kesihatan WPKL dan Putrajaya banyak melaksanakan program kesedaran terutama dalam kalangan golongan muda berumur 39 tahun ke bawah kerana hasil kajian, hampir 80 peratus pesakit HIV/AIDS dalam kalangan mereka.
Justeru itu, kita laksanakan program kesedaran ini bermula di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi Program Sihat Tanpa AIDS (PROSTAR) selain turut memperkasakan rawatan HIV di klinik kesihatan dan hospital.
Apakah hasrat KKM dalam menjadikan Bandar raya Kuala Lumpur Menuju Sifar HIV menjelang 2030?
Kuala Lumpur Menuju Sifar HIV adalah projek di bawah KKM yang diterajui oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama tujuh jawatankuasa kerja dari pelbagai agensi berlainan. Projek ini bertujuan untuk mengurangkan jangkitan baru HIV sebanyak 50 peratus dengan menambahbaik dan meningkatkan pencegahan yang komprehensif kepada sasaran baharu dan sedia ada selain mengurangkan impak HIV/AIDS terhadap sosioekonomi dan kemanusiaan.
Terdapat tiga visi yang ditetapkan di dalam projek ini iaitu sifar jangkitan HIV baharu, sifar diskriminasi, sifar kematian berkaitan AIDS selain misinya adalah untuk memperkukuhkan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan melalui kerjasama agensi kerajaan dan NGO di Kuala Lumpur menjelang tahun 2030.
Apakah harapan Jabatan Kesihatan WPKL dan Putrajaya terhadap pelaksanaan projek ini?
Saya berharap tahun 2023 ini sebagai permulaan yang baik untuk melaksanakan projek ini selepas terhenti seketika susulan wabak COVID-19. Saya harap semua pihak termasuk agensi terlibat berganding bahu mengurangkan kadar kes HIV/AIDS khususnya di Kuala Lumpur agar setiap rancangan yang diaturkan berjalan lancar. – WILAYAHKU