Berita

Ke arah bandar pintar, rakyat mesti lebih inovatif

MAIMUNAH (tengah) turut meluangkan masa melawat reruai-reruai.
- Diterbit 28 Oktober 2024 4:38 PM MYT

INOVASI dan kreativiti memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu perkhidmatan bagi memastikan tadbir urus agensi awam dapat dipertingkat dari semasa ke semasa.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif berkata sudah menjadi tanggungjawab penjawat awam di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada warga kota.

“DBKL merupakan organisasi barisan hadapan kepada pentadbiran kerajaan di peringkat tempatan justeru, dalam memastikan perkhidmatan yang ditawarkan sentiasa mempunyai nilai tambah, kita harus menyuburkan budaya berinovasi dan berkreativiti dalam kerja-kerja seharian.

“Inovasi dan kreativiti memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu perkhidmatan bagi memastikan tadbir urus agensi awam dapat dipertingkat dari semasa ke semasa,” ujar beliau ketika merasmikan Hari Inovasi dan Kreativiti DBKL 2024 di Institut Latihan DBKL pada Selasa.

Maimunah berkata dalam usaha mempromosikan bandar pintar dan pembangunan mampan serta perbandaran, negara memerlukan mereka yang bijak pandai.

“Saya membuat kenyataan di Seoul Smart City Prize baru-baru ini di mana untuk bandar pintar berkembang maju, rakyat juga mesti bijak.

“Inovasi bukan sahaja gajet tetapi idea untuk menyelesaikan masalah dan cabaran tempatan. Ia boleh menjadi inovasi kumpulan dan inovasi individu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Maimunah berkata dunia pendigitalan telah menjadi pilihan utama dalam menyalurkan perkhidmatan yang lebih efisien dan banyak aplikasi yang telah dibangunkan bagi memudahkan warga kota untuk berurusan dengan pihak kerajaan.

“Keberanian dalam membuat perubahan untuk meningkatkan produktiviti serta melonjakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi amatlah diperlukan.

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah mengeluarkan kenyataan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) berupaya menggantikan sehingga 600,000 pekerja melibatkan 10 industri penting di negara ini dalam tempoh masa lima tahun akan datang. Hal ini menunjukkan betapa besarnya impak teknologi moden yang mampu mengambil alih tugas-tugas yang lazimnya dilakukan oleh manusia.

“Teknologi AI semestinya memberi impak yang besar di dalam inovasi dan kreativiti. Rebutlah peluang untuk menguasai penggunaan AI. Jika kita mampu menguasai teknologi AI ia secara tidak langsung dapat membantu di dalam penghasilan idea baru, reka bentuk, termasuklah memudahkan simulasi dalam menguji konsep sesuatu projek sebelum ianya dihasilkan,” ujar beliau.

Jelas Maimunah inovasi juga turut dijadikan salah satu daripada enam rukun Malaysia MADANI iaitu daya cipta. Di zaman dan persekitaran yang serba kompetitif ini, kita tidak boleh berasa selesa dan berpuas hati dengan keadaan semasa sementara pihak lain berusaha untuk meningkatkan tahap produktiviti melalui pembangunan inovasi dan kreativiti.

“Dalam erti kata lain, individu mahupun organisasi yang tidak meletakkan inovasi sebagai agenda utama akan terus ketinggalan. Oleh itu, usaha harus dipertingkatkan dan digandakan bagi memastikan DBKL kekal kompetitif dan berdaya saing.

“Pihak pengurusan tertinggi DBKL akan sentiasa memberikan kerjasama dan dorongan terhadap sebarang usaha bagi mempertingkatkan daya inovasi dan kreativiti dalam kalangan kakitangan DBKL sama ada di peringkat DBKL sendiri mahupun di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Semoga segala usaha yang dilaksanakan berupaya membawa nama DBKL ke persada yang lebih tinggi dan dikenali di rantau Asia mahu pun dunia,” kata beliau.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas