Berita

KDNK Labuan naik 1.9%

SECARA prestasi KDNK per kapita, Labuan merekodkan sejumlah RM 83,596
- Diterbit 9 Ogos 2024 9:50 AM MYT

LABUAN merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 1.9 peratus bernilai RM 8.1 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, prestasi sosioekonomi pulau itu adalah menggalakkan pada tahun lalu.

Katanya, pertumbuhan ekonomi dipacu sektor perkhidmatan yang berkembang 2.2 peratus dan didorong sub sektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan.

“Secara prestasi KDNK per kapita, Labuan merekodkan sejumlah RM 83,596 pada tahun 2023 dan ianya menjadi kedua tertinggi selepas Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Laporan Sosio Ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan 2023, baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata dari aspek pelancongan Labuan menerima pelawat domestik seramai 331,400 pada 2023 berbanding tahun sebelumnya hanya merekodkan 243,700 pelawat domestik.

“2023 turut mencatatkan peningkatan bilangan pelancong domestik sebanyak 47 peratus kepada dua juta orang berbanding satu juta pada tahun sebelumnya.

“Antara destinasi tumpuan utama pelawat domestik adalah Kampung Patau-Patau. Pantai Layang-Layang, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan dan Pantai Pohon Batu dan ini jelas menunjukan prestasi pelancongan yang baik kepada wilayah ini pada tahun 2023,” katanya.

Seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta prestasi pelaburan yang menggalakkan, Dr Mohd Uzir turut memaklumkan pasaran buruh di pulau itu terus mengukuh dengan peningkatan sebanyak 4.3 peratus.

Bilangan tenaga buruh adalah seramai 46,500 orang berbanding tahun sebelumnya dengan merekodkan sebanyak 44,600 manakala bilangan penduduk bekerja juga meningkat kepada 43,400 orang berbanding 41,500 pada tahun sebelumnya.

“Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) turut meningkat sebanyak 0.5 mata peratus iaitu daripada 67.4  kepada 67.9 peratus pada tahun 2023. Pada masa sama, kadar pengangguran juga semakin baik, iaitu menurun kepada 6.8  daripada 6.9 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Persekitaran ekonomi global yang mencabar pada tahun 2023 telah memberi implikasi terhadap jumlah perdagangan Malaysia yang menunjukkan penurunan 7.3 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan nilai RM2.6 trilion.

Jumlah perdagangan yang direkodkan di Labuan dalam tempoh tersebut adalah bernilai RM19.1 bilion, turut menyusut 31.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan nilai eksport dan import masing-masing RM16.1 bilion dan RM3 bilion.

Antara eksport barangan utama adalah keluaran petroleum bertapis (RM7.4 bilion), petroleum mentah (RM5.5 bilion) dan metanol (RM2.0 bilion), meliputi 93.0 peratus kepada eksport keseluruhan negeri.

Destinasi eksport utama Labuan pada tahun 2023 adalah Vietnam dengan jumlah eksport bernilai RM3.3 bilion, diikuti Singapura (RM3.0 bilion) dan Thailand (RM2.9 bilion).

Sementara itu, barangan import utama adalah saluran, paip dan pasangan besi atau keluli (RM361.6 juta), diikuti oleh barangan alat dan perkakas mengukur, memeriksa, menganalisis dan kawalan (RM177 juta) serta keluaran petroleum bertapis (RM170.2 juta). Sumber import utama Wilayah Persekutuan  Labuan adalah daripada Bahrain (RM0.7 bilion), Amerika Syarikat (RM0.5 bilion) dan Singapura (RM0.4 bilion). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas