Berita

KDN warta larangan penerbitan enam buah buku

- Diterbit 7 Januari 2025 2:28 PM MYT

KEMENTERIAN Dalam Negeri telah mewartakan Perintah Larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] berkuat kuasa pada 19 Disember 2024 terhadap enam tajuk penerbitan.

Kata KDN, tindakan itu selaras dengan prinsip prinsip Rukun Negara “Kesopanan dan Kesusilaan’’ dan sosiobudaya tempatan selain bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang bertentangan dengan budaya serta nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang majmuk.

“Melalui Warta Kerajaan yang berikut, enam penerbitan adalah “A Million Kisses In Your Lifetime” oleh Monica Murphy melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2024 [P.U.(A) 409]; “Lose You To Find Me” oleh Erik J. Brown melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 2) 2024 [P.U.(A) 410] dan “Punai” oleh Asyraf Bakti melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2024 [P.U.(A) 411].

“Selain itu adalah “Scattered Showers” oleh Rainbow Rowell melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 4) 2024 [P.U.(A) 412]; “When Everything Feels Like The Movie” oleh Raziel Reid” melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 5) 2024 [P.U.(A) 413]; dan “What If It’s Us” oleh Becky Albertalli dan Adam Silverra melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No.6) 2024 [P.U.(A) 414],” katanya.

Menurut KDN, Perintah Larangan di bawah Akta 301 ini adalah berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.

“Dalam masa yang sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.

“Tindakan Perintah Larangan bagi kesemua hasil penerbitan yang berkenaan adalah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 7(1) Akta 301 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan enam hasil penerbitan tersebut yang mungkin memudaratkan kemoralan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia,” katanya.

KDN turut mengingatkan berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 8(2) Akta 301, mana-mana individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar, atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Kata kenyataan itu, kerajaan ingin menyatakan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa demi keharmonian dan kesejahteraan bersama.

Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan di bawah Akta 301 juga boleh dirujuk pada laman sesawang KDN https://epq.kdn.gov.my/e-pq/index.php?mod=public atau Perundangan Persekutuan https://lom.agc.gov.my/index.php?language=BM .- WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas