Berita

KDN laksanakan kajian keperluan pinda Akta Hasutan

- Diterbit 29 Oktober 2024 11:46 AM MYT

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) telah melaksanakan satu kajian bagi menilai keperluan meminda Akta Hasutan 1948.

Perkara itu dinyatakan KDN dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

KDN sebelum itu menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai pemansuhan beberapa akta lama yang terus diguna pakai hari ini.

Ia termasuk Akta Hasutan 1948; Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurut KDN, kajian yang dilaksanakan itu adalah bagi menilai akta berkenaan supaya seiring dengan peredaran masa bagi menangani isu melibatkan pelanggaran daripada elemen 3R (agama, bangsa dan institusi diraja).

“Bagi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ia merupakan akta di bawah kawal selia Kementerian Komunikasi.

“Pindaan berhubung akta tersebut sedang diperhalusi Kementerian Komunikasi sebagai
langkah memperbaiki aspek keselamatan dan rangkaian susulan peningkatan penggunaan dan kebergantungan orang ramai terhadap perkhidmatan digital,” katanya.

KDN menambah, bagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, libat urus telah dilaksanakan bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan.

“Perkara tersebut sedang diperhalusi di peringkat kementerian dan akan dibentangkan ke Kabinet untuk persetujuan dalam masa terdekat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas