KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) dalam proses memperhalusi draf Rang Undang-Undang (RUU) Tahanan Rumah melalui beberapa siri bengkel dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan yang telah dan akan dilaksanakan.
Menurut kementerian itu, ini bagi memastikan segala input dan pandangan diambil kira dalam penyediaan draf RUU tersebut.
“Berdasarkan kepada sesi bengkel dan libat urus yang dilaksanakan, fokus KDN dalam penggubalan RUU ini akan menjurus kepada penyelesaian isu kesesakan penjara disebabkan oleh tahanan reman,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KDN menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai status penggubalan rang undang-undang penahanan di rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu.
Kementerian itu memberitahu, pihaknya melalui Jabatan Penjara Malaysia sentiasa memandang serius terhadap isu kesesakan di penjara.
Dalam hal ini katanya, Jemaah Menteri pada 3 September 2024 bersetuju secara dasar bagi mewujudkan suatu akta baharu berhubung dengan tahanan di rumah (home detention) yang memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menahan atau mengeluarkan perintah tahanan rumah sebagai alternatif kepada pemenjaraan.
“Dalam membangunkan draf RUU ini, beberapa proses perlu dilaksanakan sebelum ia dapat dimuktamadkan dan dibentangkan di Parlimen.
“Antaranya, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan merangkumi pelbagai pihak dan Jawatankuasa Pilihan Khas, semakan perundangan oleh Penasihat Undang-Undang Kementerian dan Jabatan Peguam Negara serta kelulusan Jemaah Menteri,” jelasnya.
KDN menambah, RUU Tahanan Rumah dijangka dapat dibentangkan di Parlimen pada tahun ini. – WILAYAHKU