Berita

KDN buat satu lagi sesi libat urus sebelum bentang pindaan POCA

- Diterbit 20 November 2024 2:48 PM MYT

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan membuat satu lagi sesi libat urus dengan menteri-menteri berkaitan dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan alternatif pindaan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang baharu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata sekiranya sesi libat urus itu mendapat respon yang positif, pindaan POCA dirancang untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada mesyuarat pertama, penggal keempat, Parlimen ke-15.

“KDN selaku kementerian yang menerajui aspek keselamatan dalam negeri mempunyai peranan yang amat penting untuk menyediakan platform yang selamat dan aman bagi menyokong pembangunan negara,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Chow Yun Hui (PH-Raub) yang meminta KDN menyatakan garis masa terperinci bagi meminda POCA memandangkan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa seksyen 4 dan 15B POCA bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada April 2022, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 4 dan 15B akta itu bertentangan dengan Perlembagaan kerana melanggar doktrin pengasingan kuasa apabila mengganggu kuasa kehakiman.

Seksyen 15B mengecualikan kuasa hakim daripada meneliti alasan penahanan seseorang tahanan.

POCA membenarkan penahanan tanpa perbicaraan bagi suspek yang disyaki mempunyai kaitan dengan organisasi jenayah sehingga 59 hari.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata mengambil kira maklum balas sesi libat urus yang dibuat pada Februari lalu, KDN telah melaksanakan bengkel susulan pada Mac lalu.

Beliau berkata bengkel itu bagi meneliti pandangan dan memenuhi hasrat pemegang taruh yang telah diutarakan.

“Hasil bengkel susulan telah dibentangkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Asri Saifuddin Nasution Ismail melalui satu taklimat pada April lalu.

“Dalam taklimat tersebut, Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan agar sesi libat urus bersama pihak menteri-menteri berkaitan diadakan semula sebelum memorandum diangkat untuk persetujuan Jemaah Menteri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas