KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menerima sebanyak 28 aduan membabitkan pelbagai jenis kes termasuk penderaan, buli serta pengantunan seksual dalam industri sukan, untuk tempoh 2023 sehingga tahun lalu.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sebanyak 16 kes telah diselesaikan iaitu masing-masing dua kes melibatkan penderaan seksual, penderaan fizikal, ugutan dan pengantunan seksual selain tiga kes penderaan mental, buli (empat kes) dan satu kes pengabaian.
Menurut beliau, 11 kes masih aktif iaitu penderaan seksual (empat kes), masing-masing dua kes penderaan mental dan penderaan fizikal serta pengabaian (tiga kes).
“Dalam usaha memperkasakan pelaksanaan Kod Sukan Selamat, KBS akan meneruskan program advokasi dan kesedaran di peringkat akar umbi bagi memastikan seluruh komuniti sukan memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.
“Program ini akan diselaraskan oleh 44 orang focal point sukan selamat yang sudah dilantik dalam kalangan pegawai KBS, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai langkah intervensi untuk wanita dalam sukan melalui Kod Sukan Selamat dan perancangan kementerian untuk memperkasakan kod itu.
Syahredzan juga bertanyakan mengenai bilangan aduan yang dikendalikan serta statusnya yang terkini dengan pecahan jenis kes.
Hannah berkata, sebagai langkah pencegahan, semua organisasi berkaitan sukan perlu membuat semakan latar belakang sebelum melantik mana-mana jurulatih atau pegawai teknikal terutamanya yang membabitkan kanak-kanak.
Katanya, kewajipan menandatangani akujanji pematuhan Sukan Selamat serta Polisi Perlindungan Kanak-Kanak dalam mana-mana kontrak atau lantikan juga adalah antara langkah awal yang perlu diterapkan. – WILAYAHKU