KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) berperanan untuk menjalinkan hubungan strategik dengan badan beruniform bagi pembangunan bakat sukan dalam kalangan anggota.
Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut memberitahu satu insiatif pembangunan bakat dalam kalangan anggota badan-badan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) telah digerakkan secara berperingkat.
Katanya, inisiatif tersebut perlu dilaksanakan seiring dengan keperluan sukan semasa seterusnya bagi mewujudkan satu ekosistem sukan berprestasi tinggi yang dinamik termasuk beberapa perkara
“KBS dan MSN akan memantau peralatan latihan dan sewaan pusat latihan agar sesi latihan dapat dilakukan secara efisyen dan penganjuran kursus kejurulatihan dan sains sukan dalam kalangan pegawai dan anggota beruniform supaya lebih ramai jurulatih dari kalangan badan beruniform yang memiliki sijil yang diiktiraf.
” Penganjuran kejohanan tempatan dan penyertaan kejohanan dalam dan luar negara supaya bakat-bakat ini dapat didedahkan dengan lebih banyak pertandingan di peringkat tempatan dan atarabangsa,” katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan bilangan 2 bagi tahun 2024 hari ini.
Mesyuarat teraebut turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Kesihatan, Timbalan-Timbalan Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian.
Ahmad Zahid berkata badan-badan beruniform perlu berperanan secara aktif dan memberi fokus kepada beberapa cadangan jenis sukan yang boleh diberi perhatian.
“Pemilihan jenis sukan dari agensi uniform seperti sukan sepak takraw (BOMBA dan ATM), karate (ATM), tinju dan ping pong (ATM), angkat berat (BOMBA), menembak dan memanah (ATM dan PDRM) turut mendapat perhatian ahli mesyuarat.
“Mesyuarat juga bersetuju untuk meletakkan anggota-anggota unit beruniform lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahahan Awam Malaysia (APM), turut dimasukan dalam di bawah program Pembangunan Bakat Sukan Dalam Kalangan Badan Beruniform,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan menggesa supaya satu kerjasama bersepadu antara semua pihak melibatkan kementerian, agensi, perubuhan sukan, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu dilaksanakan sebagai usaha membangunkan ekosistem sukan sekali gus meletakkan nama Malaysia gah di persada dunia dalam acara sukan. – WILAYAHKU