SERAMAI 30 orang sukarelawan terlibat dalam siri pertama Misi Penghantaran Bantuan Banjir Skuad Ihsan MADANI – SATRIA Rakan Muda Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke negeri Terengganu yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
KBS dalam kenyataannya berkata sebanyak sebuah lori dan enam buah kenderaan pacuan empat roda akan membuat penghantaran ke negeri Terengganu.
“Misi ini merupakan siri pertama yang dijalankan dengan membekalkan barangan keperluan harian seperti bantuan makanan, keperluan harian, kit kebersihan serta peralatan pembersihan untuk membantu mengurangkan beban yang dialami oleh mangsa banjir.
“KBS melalui Program Rakan Muda di bawah gaya hidup Rakan Prihatin telah bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA) dan Humanitarian Development Global (RED A) bagi melaksanakan misi ini,” katanya.
Tambahnya KBS juga akan melaksanakan program sukarelawan pasca banjir bagi membantu membersihkan kemudahan awam dan rumah-rumah yang terjejas banjir.
“Selain menjalankan tugas-tugas pembersihan, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) turut melaksanakan inisiatif lain yang memberi impak positif kepada komuniti seperti kerja-kerja pembaikan motosikal, penukaran soket elektrik serta pelbagai tugas lain yang dapat membantu masyarakat setempat.
“Inisiatif ini menunjukkan komitmen JBSN bukan sahaja dalam memastikan persekitaran bersih tetapi juga memperkasa belia dengan kemahiran praktikal dan meningkatkan kesejahteraan komuniti,” ujarnya.
Dalam pada itu, KBS turut menyeru kepada semua belia untuk mendaftar sebagai sukarelawan pasca banjir SATRIA KBS.
“Layari laman sesawang https://www.jbsn.gov.my/ serta media sosial Jabatan Belia dan Sukan Negara. Sebarang pertanyaan, boleh hubungi Unit Pengurusan Sukarelawan, Jabatan Belia dan Sukan Negara di talian 03-8871 3721/3742 atau e-mel [email protected],” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah menyempurnakan Misi Penghantaran Bantuan Banjir Skuad Ihsan MADANI – SATRIA Rakan Muda KBS pada hari ini bertempat di Menara KBS, Putrajaya. – WILAYAHKU