KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) membuka permohonan geran dan dana bagi penganjuran program dan aktiviti pembangunan belia dan sukan sebagai usaha untuk memperkasa bidang tersebut.
Dalam kenyataan hari ini, KBS berkata usaha tersebut memerlukan penglibatan semua pemegang taruh berkaitan seperti badan sukan, pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan entiti swasta/ korporat secara inklusif.
“Komitmen ini turut merangkumi penyertaan atlet yang mewakili Malaysia ke kejohanan-kejohanan sukan bertaraf antarabangsa yang akan memberikan impak kepada negara,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, KBS telah menyediakan beberapa dana untuk diakses oleh pemegang taruh demi kemajuan dan pembangunan belia yang bertujuan untuk menyediakan ekosistem yang boleh mendayaupayakan penglibatan pemegang taruh dan pada tahun 2024.
“Antaranya adalah Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) iaitu geran bagi menganjurkan program dan aktiviti berkaitan sukan di peringkat kebangsan dan antarabangsa, termasuk penyertaan atlet (termasuk independent athlete) dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.
“Geran Padanan Sukan (GPS) dengan pemberian maksima 50 peratus atau tidak melebihi RM1 juta bagi menganjurkan program dan aktiviti pembangunan sukan termasuklah penganjuran acara sukan di bawah kategori prestasi tinggi, spesifikasi tinggi dan berimpak tinggi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang dilaksanakan di dalam negara,” katanya.
Selain itu, kata kenyataan itu lagi, Dana Sukan Komuniti (DSK) turut disediakan bagi merakyatkan dan membudayakan sukan ke arah menjadikan Malaysia negara bersukan serta menyokong gaya hidup cergas dan sihat.
“DSK adalah bagi menganjurkan program dan aktiviti sukan akar umbi merangkumi peringkat negeri, daerah, parlimen, DUN, kampung, taman perumahan dan seumpamanya,” katanya.
KBS katanya turut menyediakan Dana Bantuan (Pembangunan Belia) KBS sebagai tambahan kepada RM20 juta yang diperuntukkan kepada program Rakan Muda di bawah Belanjawan 2024.
“Dana Bantuan (Pembangunan Belia) KBS disediakan khas untuk memacu pelaksanaan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030) melalui penglibatan semua pemegang taruh.
“KBS telah menyediakan bantuan pembiayaan kewangan bagi menganjurkan program dan aktiviti pembangunan belia di peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri dan daerah,” kata kenyataan itu.
Menerusi kenyataan tersebut, KBS memaklumkan penyediaan geran dan dana ini juga akan memperkasakan industri sukan melalui penganjuran program-program sukan dan membantu memulihkan ekonomi sektor ini yang telah terkesan akibat wabak COVID-19.
“Permohonan bagi dana-dana di atas adalah tertakluk kepada terma dan syarat. Penganjuran aktiviti berkaitan pembangunan sukan adalah berdasarkan kepada jenis sukan yang tersenarai di dalam Perintah Pembangunan Sukan (Pindaan Jadual Pertama) 2023, Akta Pembangunan Sukan 1997 yang boleh dimuat turun dari laman web KBS.
“Orang ramai boleh melayari laman sesawang KBS (https://www.kbs.gov.my/home) bagi memohon secara dalam talian dan mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci,” katanya.
Tambah KBS, inisiatif ini diharap dapat menyemarakkan lagi hasrat memperkasakan pembangunan belia dan sukan di Malaysia selaras dengan aspirasi digariskan di bawah MPBM 2030 dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) seiring dengan kerangka Malaysia MADANI.-WILAYAHKU