KAWASAN lubang benam di sekitar Masjid India akan dibuka kepada umum akhir Disember ini sekali gus lebih awal berbanding perancangan awal pada Februari depan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata pihaknya turut melakukan pemantauan di sekitar Daerah Pusat Perniagaan (CBD) bagi mengambil langkah berjaga-jaga dan menangani insiden seumpama itu berlaku.
“Antara kawasan yang dipantau adalah Bukit Bintang, sekitar Menara Berkembar KLCC dan Jalan Tunku Abdul Rahman,
“Laporan lengkap dari aspek teknikal mengenai insiden berkenaan khususnya di Jalan Masjid India itu sedang dalam proses akhir sebelum dikemukakan kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena 100 Hari Datuk Bandar dan Belanjawan DBKL 2025 di Menara 1 DBKL, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Mohamad Hamim.
Maimunah memberitahu pihaknya turut menggunakan kepakaran luar dalam mengurus perkara berkenaan khususnya dari aspek geoteknikal susulan pengumuman Perdana Menteri yang memperuntukan RM10 juta kepada DBKL berhubung aspek siasatan dan kajian.
“Kepakaran yang kita gunakan campur, jabatan dalaman DBKL turut dilibatkan serta penglibatan Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Nuklear,”.
Tambahnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia turut terlibat memberi taklimat dan maklumat terkini. – WILAYAHKU