SEJAJAR dengan kedudukan sebagai ibu negara dan pusat kewangan serta ekonomi‚ Kuala Lumpur telah melalui transformasi pesat menjadi sebuah bandar kosmopolitan yang berdiri sama tinggi‚ duduk sama rendah dengan negara lain di dunia.
Demi memenuhi tuntutan pembangunan‚ pelbagai projek dilaksanakan untuk kemajuan ibu kota dan memenuhi keperluan penduduk. Ini termasuk pembinaan rumah‚ pembinaan jalan baharu atau menambah baik yang sedia ada serta pelbagai fasiliti lain seperti kesihatan‚ sekolah dan lain-lain.
Ini menjadikan guna tanah di bandar raya berada pada tahap tinggi. Memandangkan jumlah keluasan Wilayah Persekutuan tidak bertambah berbanding pembangunan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa‚ wujud kebimbangan kawasan hijau akan dikorban untuk pembangunan.
Kawan-kawan Kedai Kopi lega apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur‚ Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif memberi jaminan perkara ini tidak akan berlaku. Kawasan hijau yang digazetkan atau ‘paru-paru hijau’ di KL tidak akan dikorbankan untuk pembangunan.
Ini merupakan satu jaminan yang melegakan warga kota. Kawasan hijau perlu dipertahan‚ malah jika boleh ditambah‚ dalam mengimbangi pembangunan hutan batu. Kawasan hijau menyegarkan mata memandang‚ tidak hanya terpaku kepada hutan batu apabila melihat sekeliling.
Jaminan datuk bandar‚ kawasan hijau seperti taman‚ kawasan rekreasi serta kawasan rizab hijau di ibu negara akan tetap terpelihara. Arus pembangunan tidak akan melanda kawasan ini. – WILAYAHKU