RAMADAN kembali menjenguk ke dalam kehidupan kita dengan membawa seribu satu rahmat dari Yang Maha Esa. Bermulalah ibadat puasa‚ Rukun Islam ketiga. Memang pantas‚ rasanya baharu sahaja Ramadan berlalu‚ kini menjelma lagi.
Namun bagi kawan-kawan Kedai Kopi‚ yang penting ialah kita mengambil manfaat sepenuhnya daripada kemuliaan Ramadan untuk mengukuhkan takwa dan keimanan serta pengabdian kepada Allah untuk mencari rahmat keredaanNya.
Kerana itu aspek pengisian Ramadan sangat penting. Pada bulan mulia ini‚ selain menahan lapar dahaga di siang hari‚ umat Islam dituntut mempertingkat serta memberi lebih tumpuan kepada amal ibadat.
Ini termasuk menunaikan solat sunat tarawih di masjid atau surau‚ bertadarus Al-Quran‚ memperbanyak sedekah dan derma‚ qiamullail atau menghadiri majlis ilmu serta ceramah agama.
Setahun sekali memang wajar melipatgandakan usaha mencari pahala. Kawan-kawan Kedai Kopi tidak bermaksud di bulan lain tidak perlu banyak beribadah. Juga bukan untuk mengabaikan keperluan kehidupan yang lain. Cuma lebihkan ibadat pada Ramadan.
Selain itu‚ kawan-kawan Kedai Kopi ingin ingatkan agar kita semua kawal diri dan banyak sabar ketika berpuasa.
Tidak kurang penting‚ kawal nafsu makan minum ketika berbuka serta jimat berbelanja. Beli dan makan sekadar yang perlu. Jika berlebihan akan membazir.