SEMBILAN individu termasuk tiga warga China ditahan di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana, Melaka selepas dipercayai terlibat sindiket calling center job scam (penipuan pekerjaan) antarabangsa.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, kesemua individu terlibat, berusia di antara 26 hingga 43 tahun, ditahan dalam serbuan pada 7 Februari lalu oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Mereka katanya, menyasarkan mangsa terdiri daripada rakyat sebuah negara di Kepulauan Caribbean.
“Siasatan mendapati, modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan palsu kepada mangsa menerusi Facebook dan mangsa yang berminat akan berkomunikasi dengan ahli sindiket ini melalui WhatsApp atau Telegram.
“Mangsa kemudiannya akan diarahkan membuat 32 jenis tugasan menerusi laman sesawang yang diberikan yang kononnya bertujuan menaikkan jumlah maklum balas (review) terhadap hotel dan filem di negara kepulauan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Md Nazri berkata, apabila selesai tugasan pertama, mangsa yang berminat untuk meneruskan tugasan seterusnya akan diarahkan untuk membuat transaksi bayaran kepada ahli sindiket ini.
Mangsa katanya, dijanjikan dengan komisen di antara AS$70 hingga AS$100 bagi setiap tugasan yang berjaya dilakukan.
Walau bagaimanapun jelasnya, selepas membuat bayaran, mangsa tidak dibayar komisen seperti dijanjikan.
“Sindiket ini dipercayai memperoleh keuntungan RM54,000 sebulan hasil daripada kegiatan mereka ini,” katanya.
Dalam serbuan tersebut katanya, polis membuat rampasan terhadap pelbagai jenis barangan dianggarkan berjumlah RM30,000.
Katanya, kesemua individu tersebut direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan. – WILAYAHKU