JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan berjaya merampas rokok dan mercun dengan anggaran nilai cukai RM184,976 di sebuah stor tidak beralamat di Rancha-Rancha, di sini.
Menurut Pengarah JDKM Labuan Aspalila Ag Tuah, berdasar maklumat risikan yang dilaksanakan oleh pasukannya pada 27 Ogos lalu, sebuah premis tidak bernombor di Rancha-Rancha telah diserbu.
Katanya, pihaknya mempercayai premis tersebut dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok dan mercun seludup.
“Hasil daripada serbuan dan pemeriksaan yang dilaksanakan, JDKM Labuan telah menemukan pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak dikastam dan beberapa jenis mercun.
“Rokok dan mercun tersebut disyaki diseludup masuk ke Labuan dari Kawasan Utama Kastam dan nilai sitaan tersebut berjumlah RM57,467 dengan anggaran nilai cukai sejunlah RM184,976,” katanya pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Dan Pematuhan, JDKM Labuan, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya kini dalam siasatan mengesan pemilik premis berkenaan, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan lain, Aspalila berkata pihaknya turut berjaya menyita sebanyak tujuh buah kenderaan pelbagai jenama kerana tidak kembali ke pulau bebas cukai selepas tamat tempoh 90 hari menerusi Ops Radu 2024.
Katanya, pasukan operasi melaksanakan beberapa siri operasi bertujuan untuk memburu pemilik kenderaan yang melanggar syarat di bawah butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
“Sepanjang operasi berkenaan 7 kes dicatatkan membabitkan sitaan sebanyak 7 kenderaan pelbagai jenama dengan nilai rampasan termasuk cukai berjumlah RM820,000.
“Aspalila berkata, berdasarkan butiran 14 itu, kenderaan yang dibeli ke Pulau Bebas Cukai (PBC) Langkawi dan Labuan dibenarkan masuk ke kawasan Utama Kastam (KUK) tidak lebih 90 hari dalam setahun.
“Modus operandi yang dikesan iaitu kenderaan ini telah dibawa masuk ke KUK dengan menggunakan kemudahan di bawah butiran 14, bagaimanapun kenderaan itu tidak kembali ke PBC selepas tamat tempoh.
“Semua kenderaan pelbagai jenama disita bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – WILAYAHKU