JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan berjaya menggagalkan cubaan kegiatan penyeludupan minuman keras bernilai lebih RM96,064 menerusi satu serbuan di Pantai Tanjung Aru di sini, pada 3 Jun lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, minuman keras itu disyaki cuba untuk diseludup keluar daripada Labuan ke Sabah dengan nilai sitaan lebih RM 96,064 dengan anggaran nilai cukai RM20,911.
” Hasil serbuan, seramai tiga orang lelaki termasuk seorang warga negara asing yang berusia 20-an hingga 30-an telah ditahan untuk siasatan selanjutnya dibawah Akta Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
” Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barang atau RM 100,000 (yang mana lebih tinggi); sehingga tidak lebih daripada dua puluh (20) kali ganda nilai barang atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi); atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Nasir memberitahu pihak turut berjaya mematahkan cubaan mengedar dadah menerusi perkhidmatan kurier pada April lalu.
“Ketulan mampat disyaki ganja seberat 71.00 gram yang bernilai RM1,420 telah dirampas di Poslaju Labuan.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan,” katanya . – WILAYAHKU
.