KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Kraftangan Malaysia dan anak syarikatnya, Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn Bhd melancarkan cawangan ke-10 cawangan baharu Karyaneka bertempat di Muzium Negara, hari ini.
Pembukaan cawangan baharu ini merupakan usaha berterusan untuk mempromosi dan memasarkan produk kraf daripada usahawan dan komuniti kraf tempatan kepada pengguna seluruh negara termasuk pelancong asing.
Sempena pembukaan ini juga, karyaneka menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus kepada pelanggan bagi setiap pembelian produk kraf sekurang-kurangnya RM250 bermula 16 hingga 30 Jun ini.
Selain diskaun tersebut, karyaneka juga turut memberikan produk mangkuk tingkat (tiffin) secara percuma bagi setiap pembelian produk kraf.
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi berkata Karyaneka menampilkan pelbagai produk kraf yang autentik dan beridentiti Malaysia bagi segmen produk cenderamata, hiasan dalaman, perhiasan diri, fesyen, tekstil serta hiasan laman dan taman.
“Selain itu, dalam era pengadaptasian teknologi digital, karyaneka juga turut menawarkan tiga platform pembelian alternatif kepada pelanggan secara atas talian tanpa perlu ke outlet fizikal.
“Pelanggan boleh membeli-belah menerusi kedai dalam talian Karyaneka, MyCraftShoppe dan JOURNIFY2U di laman web www.karyaneka.com.my,” katanya ketika merasmikan Outlet Baharu Karyaneka di Muzium Negara, hari ini.
Dalam pada itu, MOTAC berharap dengan pembukaan outlet baharu ini akan mendapat sambutan dan sokongan orang ramai khususnya pelancong tempatan mahupun luar negara.
Terdahulu, karyaneka telah beroperasi sejak tahun 1982 dan kini mempunyai 10 lokasi antaranya kompleks Kraf Kuala Lumpur, Kompleks Kraf Langkawi, Kompleks Kraf Melaka, Kompleks Kraf Johor dan banyak lagi termasuk cawangan baharu di Muzium Negara ini. – WILAYAHKU