BERPELUANG melangkah ke Karyabhara The Hipster Cafe yang terletak di Menara PERKESO Putrajaya membuatkan penulis terpegun seketika melihat tema ‘hipster’ yang diketengahkan dalam hiasan dalaman kafe tersebut.

Dilatari dengan batu bata berwarna oren membuatkannya kelihatan unik seperti namanya yang diilhamkan dari perkataan Nepal yang menggambarkan sesuatu yang penuh dengan elemen kesenian.
Tidak hairanlah kafe ‘hipster’ atau ‘Instagrammable cafe’ ini menjadi pilihan pengunjung terutamanya anak muda yang gemar merakam gambar untuk dimuat naik ke dalam laman sosial masing-masing.
Bercerita tentang bab menu pula, sudah semestinya kelazatan masakan Melayu dan barat yang ada di sini tidak dapat disangkal lagi. Malah terbaharu, Karyabhara turut memperkenalkan menu tambahan bertemakan ‘Masakan Bonda’.
Menurut pemiliknya, Jumaitul Laily Zakiah, 32, penambahan menu tersebut dibuat memandangkan masakan tradisional seperti gulai bukan sahaja menepati selera ramai bahkan cukup sinonim dengan rakyat Malaysia.

“Semua resipi seperti gulai kawah, asam pedas, udang sambal petai, masak lemak rebung dan banyak lagi merupakan resipi turun-temurun keluarga saya sejak zaman-berzaman,” ujarnya yang turut memiliki cawangan di Cyberjaya dan Shaftsbury, Putrajaya.




Menariknya menu-menu tersebut dimasak sendiri oleh ibu saudaranya yang pakar dalam bab memasak sejak dahulu lagi.
“Seperti yang kita tahu, restoran ataupun kafe memang akan upah cef untuk memasak tetapi uniknya di sini, mak cik saya sendiri yang memasak. Dia juga turut memberi nafas baharu kepada menu-menu tersebut namun masih mengekalkan rasa yang asal,” ujarnya yang berhasrat untuk menambah cawangan Karyabhara ke seluruh negara.
Sempena bulan Ramadan, Karyabhara turut menawarkan bufet Ramadan serendah RM68 (Dewasa), RM45 (Kanak-kanak tujuh tahun ke atas) dan percuma bagi kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.
“Alhamdulillah sambutan di luar jangkaan. Misalnya di Shaftsbury kita tidak putus menerima tempahan dan kerana terlalu ramai kita cadangkan kepada pelanggan untuk ke sini kerana lebih luas dan mampu memuatkan 200 pelanggan dalam satu-satu masa,” ujarnya yang turut menerima tempahan untuk majlis-majlis keramaian seperti hari lahir dan sebagainya.
KONGSI REZEKI
BERSEMPENA bulan yang mulia ini juga, Jumaitul yang juga merupakan Ketua Puteri UMNO Bahagian Putrajaya turut menganjurkan Program Iftar dan Rahmat Ramadan Kasturi Aafiyah Kelolaan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Putrajaya bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Kita menjemput lebih 150 golongan asnaf, wanita muda yang mempunyai ramai anak, ibu tunggal dan anak yatim dalam kalangan wanita muda sekitar Putrajaya untuk berbuka puasa dan seterusnya menyampaikan bantuan berupa baucar Parkson dan barangan asas,” ujarnya yang memberitahu program tersebut turut menerima tajaan daripada minyak wangi Kasturi Aafiyah yang digunakan untuk ikhtiar rawatan gangguan mistik. – WILAYAHKU