BALAI Seni Negara membawa Pameran Hanya Satu bertajuk Atma Kirana hasil karya Abdul Shakir atau lebih dikenali sebagai Grasshopper bermula 9 Ogos sehingga 30 Oktober 2023 secara percuma kepada pengunjung.
Atma Kirana merupakan sebuah eksplorasi seni yang mendalam dan menekankan Rukun Negara sebagai subjek utama selain diterjemahkan melalui bahasa kuno Melayu atau Sanskrit sebagai jiwa yang indah.
Balai Seni Negara memaklumkan, Atma Kirana merupakan koleksi visual digital yang dipersembahkan melalui lima variasi bunga motif berdasarkan prinsip Rukun Negara iaitu Percaya, Setia, Luhur, Adil dan Baik di mana kelima-lima variasi ini mewakili aspek berbeza tentang pengalaman manusia serta nilai teras yang membentuk masyarakat.
“Menerusi interaksi teknologi digital dan motif tradisional, Atma Kirana meraikan gandingan masa lalu dan masa kini, menjadi bukti kukuh tentang sifat budaya yang berkembang dan semangat kemanusiaan yang masih bertahan,” jelas kenyataan tersebut.
Tambahnya, karya ini juga memberi kesan animasi melalui bentuk dan cahaya yang menakjubkan dan dipamerkan menerusi koreografi instalasi daripada 100 panel lampu diod pemancar cahaya (LED) tergantung yang diletakkan dengan teratur untuk membolehkan orang ramai melihat karya ini dari pelbagai sudut pandang dan seterusnya dihayati.
“Selain itu, bagi melahirkan komitmen terhadap kelestarian alam, panel LED yang digunakan bagi pameran ini terdiri daripada panel yang telah dikitar semula daripada papan iklan di sekitar bandar.
“Pengkarya juga menginterpretasi bentukan visual menerusi motif-motif tempatan dengan baik yang mana dia mendapatkan ilham daripada corak tenunan songket Malaysia yang rumit untuk menjadikan medium panel LED kelihatan sempurna, menghasilkan gabungan seni tradisional dan teknologi moden yang menawan,” katanya beberapa program sokongan seperti sesi perkongsian oleh artis dan bengkel turut diadakan bagi memeriahkan pameran ini.