Berita

Karya agung di Pustaka Raja Tun Uda

NAJWAN (tengah) merasmikan Pameran Karya Agung Sastera Shahnameh Ferdowsi dan tayangan seni dari Tajikistan pada Isnin.
- Diterbit 11 Oktober 2024 11:45 AM MYT

PAMERAN Karya Agung Sastera Shahnameh Ferdowsi dan tayangan seni dari Tajikistan yang kini diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam bermula pada 7 hingga 17 Oktober 2024 memberi peluang kepada pengunjung mengenali karya agung, sejarah dan budaya negara luar dengan lebih dekat.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi yakin ramai yang tidak pernah mendengar tentang Tajikistan sebelum ini namun atas kerjasama yang terjalin maka orang ramai dapat melihat keunikan negara tersebut.

“Karya Ferdowsi juga menjadi tiang di mana tradisi sastera dibina, dipelihara dengan identiti budaya mereka yang bertutur dalam bahasa Parsi,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan pameran yang turut dihadiri Duta Besar Republik Tajikistan ke Malaysia, Ardasher Saeed Jaafar Qodiri serta Pengerusi Institut Pemikiran Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Dr Maszlee Malik.

Tambah beliau, program anjuran Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama IAIS dan Kedutaan Tajikistan di Malaysia itu juga sebagai penghormatan kepada penyair serta pemikir terulung, Abdul Qosim Ferdowsi yang popular dengan karya Shahnameh.

“Kami berkumpul di sini untuk memberi penghormatan kepada salah seorang penyair terhebat dan pemikir terkenal global di mana karya agungnya yang abadi, epik Shahnameh, selama-lamanya telah mengubah sejarah dan budaya masyarakat berbahasa Parsi serta sangat mempengaruhi kesusasteraan dunia, seni juga pemikiran, memastikan nama Ferdowsi tempat yang kekal dalam kalangan minda terbesar dalam sejarah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pameran ini juga akan menayangkan filem berkisar peperangan dan kekeluargaan bertajuk Rustam and Suhrab serta dua dokumentari berjudul Ferdowsi dan Shahnameh: A Literary Masterpiece sepanjang penganjuran berlangsung.

Terdahulu, majlis perasmian turut dihadiri tetamu terhormat, Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas